Ayuh berdamai demi negara, kata Pemuda Umno 


Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki meminta semua ahli politik berdamai dan bersama-sama menyelesaikan kemelut yang sedang dihadapi negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2020.

AHLI politik tidak kira dari mana-mana parti perlu melakukan gencatan politik untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi negara, kata Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut beliau sudah tiba masanya ahli politik melakukan gencatan politik untuk memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan rakyat.

“Kes Covid-19 kian meningkat, rakyat makin susah, ekonomi negara makin menguncup, pengangguran makin memuncak, ramai hilang punca pendapatan bahkan ada jatuh papa kedana,” katanya.

“Ramai yang saya temui menyatakan kebimbangan dengan ‘unprecedented phenomenon’ atau fenomena unik yang tidak pernah dialami, namun begitu mencabar dan mengancam kesejahteraan semua.”

Kenyataan Asyraf itu selepas ketidaktentuan yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu berikutan perebutan kuasa antara Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin.

Anwar mendakwa mempunyai sokongan majoriti kukuh daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu manakala Muhyiddin yang masih lagi perdana menteri cuba meraih sokongan daripada PAS dan Bersatu.

Umno juga masih belum memutuskan pihak mana yang akan disokong berikutan situasi politik semasa.

Asyraf berkata agenda perdamaian nasional memberikan keutamaan kepada parti-parti politik untuk menangguhkan seketika persengketaan dalam soal perebutan kuasa.

“Yang dimaksudkan dengan agenda perdamaian nasional ini bukanlah bermakna kita mencairkan identiti mahupun ideologi perjuangan parti masing-masing.

“Segala kudrat, kecerdasan minda dan sumber daya yang ada digemblengkan bersama untuk mendatangkan formula terbaik bagi membantu rakyat yang dihimpit segala keperitan lantaran dampak Covid-19 yang kian mencengkam,” katanya.

Asyraf berkata untuk menjayakan agenda perdamaian nasional, setiap ahli politik perlu ada iltizam politik, komitmen politik dan kejujuran politik yang jitu.

“Jangan nanti kita dihukum oleh rakyat yang semakin mual dengan sikap politikus yang berterusan berbalah isu-isu politik kuasa bagaikan tiada penghujung,” tambahnya. – 19 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen