Mesir bebaskan satiris setelah 2 tahun dipenjara, kata keluarga


Abu Zeid berbaju hitam bersama ahli keluarganya setelah dibebaskan.– Gambar ihsan Facebook Roula H AbuZaid, 18 Oktober, 2020.

Seorang aktivis dan penyindir satira Mesir yang ditahan lebih dari dua tahun telah dibebaskan, kata ahli keluarganya.

Shady Abu Zeid ditangkap pada Mei 2018 dan ditahan dalam tahanan yang tidak dibicarakan kerana dituduh menyertai kumpulan yang diharamkan dan menyebarkan berita palsu, kata kumpulan hak asasi Amnesty International.

“Shady dibebaskan di bawah pengawasan, dan sekarang berada di rumah bersama kami,” kata adiknya Rola Abu Zeid di Facebook semalam.

Persatuan Kebebasan Berfikir dan Bersuara (AFTE) yang berpusat di Kaherah berkata, mahkamah khusus kepada terorisme itu telah membuat keputusan itu pada 10 Oktober lalu.

Penahanan pra-bicara boleh berlangsung hingga dua tahun di bawah undang-undang Mesir, namun tempohnya sering dilanjutkan.

Abu Zeid merupakan sebahagian daripada pengulas rancangan televisyen berbentuk sindiran dan satira di Mesir sebelum penyiaran itu dihentikan pihak berkuasa Mesir.

Shady juga aktif memuat naik video-video beliau di media sosial.

Pada 2016, beliau membuat kontroversi menunjukkan beliau memberikan belon yang dibuat dari kondom kepada pasukan keselamatan di Tahrir Square Kaherah di hari kebangsaan polis Mesir.

Kumpulan hak asasi berkata, kerajaan Presiden Abdel Fattah al-Sisi telah mengekang kebebasan sejak memegang jawatan pada 2014, selepas menggulingkan Mohamed Morsi pada 2013.

Antara yang dipenjarakan oleh pihak berkuasa Mesir terdiri daripada pelawak, akademik, penulis blog, wartawan, pembangkang politik, peguam dan aktivis.

Awal tahun ini, Mesir menghadapi kecaman antarabangsa atas kematian dalam tahanan pembuat filem berusia 24 tahun Shady Habash.

Menurut beberapa kumpulan hak asasi, kira-kira 60,000 tahanan di Mesir merupakan tahanan politik. – AFP, 18 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen