Hormati Umno sebagai rakan sebenar, kata Khaled Nordin kepada Muhyiddin


Muhyiddin Yassintahu apa yang Umno mahu dan tahu juga apa yang boleh parti itu lakukan, kata Mohamed Khaled Nordin.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2020.

UMNO mahu Muhyiddin Yassin bertindak segera untuk “merungkaikan kegelisahan” dalam parti itu, yang mahu ia dihormati sebagai rakan sebenar dalam kerjasama politik yang membentuk kerajaan di Putrajaya dan beberapa negeri sejak Mac lalu, kata naib presidennya Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, Muhyiddin tahu apa yang Umno mahu dan tahu juga apa yang boleh Umno lakukan.

“Semua pilihan adalah di tangan perdana menteri. Beliau memahami apa yang Umno  kehendaki dan beliau juga tahu apa yang Umno mampu lakukan.  

“Keutamaan Umno ialah kepentingan terbaik Malaysia. Dan jika itu juga keutamaan  perdana menteri, beliau sewajarnya melakukan sesuatu dengan segera untuk  merungkai kegelisahan yang Umno suarakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khaled mengeluarkan kenyataan itu hampir seminggu selepas Biro Politik Umno mengumumkan cadangan mahu menarik balik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Dalam mesyuarat pada Selasa, Biro Politik Umno menuntut syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan PN, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Umno juga akan mahu kerjasamanya dengan PAS dalam Muafakat Nasional didaftarkan segera sebagai gabungan politik yang sah, katanya.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin mengingatkan Muhyiddin Yassin akan kedudukan Umno sebagai blok penting dalam kerajaan PN.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2020.

“Umno akan sentiasa menyokong keputusan yang baik. Jadi, pamerkanlah kepimpinan yang ikhlas, yang boleh menukarkan ‘mutual respect’ menjadi ‘trust’ yang  sebenar. Kerana kita semua tahu. Trust is earned, not given,” tambah Khaled.

Khaled juga mengingatkan Muhyiddin akan kedudukan Umno sebagai blok penting dalam kerajaan PN.

Katanya, Umno boleh mengukuhkan kerajaan PN dan boleh juga menumbangkannya.

Malah Umno juga boleh mempercepatkan pilihan raya umum, namun itu pilihan terakhir ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

“Umno tidak akan memperjudikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan  umum demi suatu pilihan raya. 

 “Keutamaan Umno ialah membentuk kerajaan yang benar-benar boleh mengurus negara yang berada dalam krisis. 

“Dan untuk itu, Umno  mahu ia dihormati sebagai rakan sebenar dalam kerjasama politik ini dan bukannya  sekadar penyeri kepada PN,” katanya.

Kenyataan Khaled ini juga dikeluarkan ketika Mingguan Malaysia melaporkan Muhyiddin akan merombak jemaah menteri untuk memastikan Umno tidak menarik balik sokongannya kepada kerajaan.

Majoriti tipis yang ada pada Muhyiddin di Dewan Rakyat jadi perhatian sekali lagi sejak minggu lalu selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober untuk mempersembahkan bahawa kerajaan itu telah jatuh.

Muafakat Nasional dilapor akan bermesyuarat esok, sementara cadangan Biro Politik Umno akan dibincangkan sekali lagi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Selasa. – 18 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen