Ahli Parlimen bersama Dr Mahathir fail semula usul undi tak percaya


Kumpulan ahli Parlimen setia kepada Dr Mahathir Mohamad daripada Pejuang sekali lagi memfailkan usul tidak percaya kepada kepimpinan Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2020.

PENGASAS parti Pejuang Dr Mahathir Mohamad sekali lagi memfailkan usul tidak percaya terhadap perdana menteri, bersama empat lagi ahli Parlimen yang bersamanya.

Kelima-lima ahli Parlimen itu mengemukakan usul melalui satu surat kepada speaker dewan bertarikh semalam, menurut salah seorang dari ahli Parlimen itu, Maszlee Malik.

Ketua penerangan penaja parti Pejuang itu berkata langkah itu diputuskan jawatankuasa berkenaan semalam.

“Keputusan ini diambil kerana kegagalan PM mentadbir kerajaan sewaktu pandemik Covid-19 dan juga keraguan terhadap bilangan majoriti yang dipunyai oleh PM,” katanya.

Dalam surat kepada speaker Dewan Rakyat, ahli Parlimen tersebut memohon usul tersebut dikemukakan dalam sidang yang akan bermula pada 2 November.

Mereka mengemukakan usul bagi membuat ketetapan bahawa Muhyiddin tidak lagi mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Usul itu dikemukakannya mengikut perkara 26(1) yang dibaca dengan perkara 27(3) dalam peraturan mesyuarat.

Usul tersebut kali pertama difailkan Dr Mahathir awal tahun ini, tetapi tidak dimajukan kerana diatasi usul kerajaan dalam peraturan mesyuarat.

Tindakan itu dikecam Dr Mahathir yang menganggap Muhyiddin menggunakan kuasa sebagai perdana menteri untuk melengah-lengahkan usul terrsebut.

Beberapa hari lalu, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pula mendedahkan surat meminta Dewan menjelaskan alasan untuk tidak membenarkan usul ahli Parlimen Langkawi itu.

Tegasnya, usul tersebut perlu dibenarkan kerana diwajarkan oleh Perkara 62 dalam perlembagaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun bagaimanapun menjelaskan, peraturan mesyuarat dewan mengutamakan rang undang-undang kerajaan.

Kedudukan Muhyiddin tergugat selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa mendapat majoriti untuk mengambil alih kerajaan.

Pada masa sama, sokongan dari kalangan pemimpin Umno terhadap Muhyiddin juga dilihat merosot.

Para pemimpin Umno mendedahkan parti itu dibuli Bersatu dalam Perikatan Nasional dan mengancam untuk mengalih sokongan sekiranya tuntutannya tidak dipenuhi.

Muhyiddin difahamkan akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Umno Ahmad Zahid Hamidi dan dari PAS Hadi Awang pada hujung minggu ini untuk menyelesaikan kemelut itu.

Tengku Razaleigh pula pada masa sama mengadakan pertemuan dengan para pemimpin parti pembangkang yang dikaitkan dengan usaha membentuk kerajaan campuran baharu. – 16 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen