Covid-19 ragut nyawa wanita berusia 100 tahun 


Ragananthini Vethasalam

Petugas kesihatan menguruskan pengebumian mangsa Covid-19 di sebuah tanah perkuburan di Sabah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2020.

SEORANG wanita berusia 100 tahun menjadi mangsa terbaharu Covid-19 hari ini menjadikan ia individu paling tua direkodkan sebagai mangsa wabak itu di negara ini.

Mangsa yang bukan warganegara Malaysia, meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent di Sabah.

Negeri itu turut melaporkan dua lagi kematian melibatkan seorang lelaki berusia 68 tahun dan seorang wanita berusia 54 tahun. Kedua-dua mangsa mempunyai sejarah penyakit kronik.

Tiga kematian itu menjadikan angka keseluruhan kematian seluruh negara akibat wabak berkenaan kepada 170.

Sementara itu, Malaysia hari ini turut merekodkan jumlah kes pulih paling tinggi dalam tempoh sehari, selepas 409 orang didiscaj daripada hospital dalam tempoh 24 jam lalu.

Kedah dan Sabah menyaksikan jumlah pesakit yang didiscaj paling tinggi iaitu masing-masing 226 dan 111.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada koronavirus 12,014.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini berkata terdapat 589 kes jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu yang mana 586 daripadanya adalah penularan tempatan.

Sabah terus menyumbang kepada kes baharu tertinggi dengan 304 jangkitan.

Manakala Selangor merekodkan lonjakan kes dengan 150 kes baharu hari ini.

553 kes melibatkan warganegara manakala 133 lagi adalah warga asing. 

Jumlah kes aktif pula direkodkan sebanyak 5,945.

Sementara itu, 103 pesakit kini menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) yang mana 31 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.– 15 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen