Malaysia catat 660 kes baharu Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Petugas kesihatan menguruskan pengebumian seorang mangsa Covid-19 di Sabah. Empat kes kematian turut dilaporkan hari ini yang mana kesemuanya adalah dari negeri itu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 14 Oktober, 2020.

JUMLAH kes jangkitan Covid-19 seluruh negara hari ini melepasi 17,000 selepas Malaysia melaporkan 660 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu, dengan kebanyakan kes adalah dari Sabah.

Empat kematian turut dilaporkan hari ini yang mana kesemuanya adalah dari Sabah. Ia menjadikan jumlah kematian keseluruhan 167.

Jumlah kes baharu itu menjadikan jumlah kumuatif kes kepada 17,540, manakala kes aktif meningkat kepada 5,768, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media hari ini.

Hanya enam daripada 600 kes jangkitan yang dilaporkan setakat tengah hari jni adalah kes import, manakala 654 adalah penularan tempatan yang mana 429 daripadanya adalah dari Sabah.

608 kes penularan tempatan melibatkan warganegara manakala 46 lagi adalah warga asing.

Sementara itu, 233 pesakit didiscaj dari hospital selepas pulih daripada koronavirus dalam tempoh 24 jam lalu.

Ia menjadikan jumlah kes pulih keseluruhan kini 11,605.

Dalam pada itu, 108 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dan 35 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tambahnya aktiviti ujian aktif dijalankan di kawasan panas di Sabah yang menyumbang kepada 65% kes hari ini.

Kedah melaporkan kes jangkitan kedua tertinggi dengan 113 kes. Kluster Tembok yang menular ke penjara Alor Setar, Pokok Sena dan Sungai Petani menyumbang kepada 109 kes.

Di Pulau Pinang kluster penjara Seberang Perai dan penjara Reman merekodkan 17 kes baharu.

Tambah Noor Hisham kes kluster penjara hanya dalam kompleks penjara sahaja.

Sementara itu, wilayah Lembah Klang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menyumbang 11.5% kes hari ini.

Selangor menyaksikan 68 kes manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing merekodkan satu kes sahaja.– 14 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen