Kerajaan digesa peruntuk lebih banyak untuk golongan miskin dan memerlukan


Ragananthini Vethasalam

Tinjauan mendapati pendapatan kebanyakan isi rumah berada sedikit di atas garis kemiskinan mutlak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.

LEBIH banyak wang perlu dibelanjakan bagi perlindungan sosial untuk membantu golongan miskin mencapai taraf hidup sewajarnya, terutama dalam menghadapi krisis ekonomi disebabkan Covid-19, kata Institut Penyelidikan Khazanah (IPK) dalam laporan terbarunya.

Laporan, “Kesejahteraan di Malaysia Sepanjang Tiga Dekad: Laporan Isi Rumah 2020 Bahagian 1” mendapati pendapatan kebanyakan isi rumah berada sedikit di atas garis kemiskinan mutlak, mempunyai peluang lebih tinggi untuk kembali kepada keadaan yang teruk.

“Keadaan ini termasuk isi rumah berpendapatan sederhana. Terdapat keperluan untuk memperluaskan kesejahteraan sosial dan perlindungan di Malaysia,” kata laporan itu.

Ia berkata, keperluan meningkatkan peruntukan bagi kesejahteraan sosial dan perlindungan diperkukuhkan lagi dengan semakan indeks garis kemiskinan negara (PLI) pada Julai.

Berdasarkan metodologi perkiraan baharu, nilai min (mean value) PLI negara ditetapkan pada RM2,208 berbanding RM980 berdasarkan metodologi pada 2005.
IPK mendapati perbelanjaan bantuan sosial tahunan yang diperlukan untuk menutup jurang kemiskinan meningkat dari RM5.1 bilion pada 1989 kepada RM24.9 bilion pada 2019.

Dianggarkan terdapat 1.7 juta isi rumah yang dapat dianggap relatif miskin pada 2019, berbanding angka rasmi 1.2 juta.

Kemiskinan secara relatif merujuk kepada isi rumah berpendapatan di bawah 50% daripada median.

Kemiskinan mutlak juga dicirikan dengan kekurangan keperluan asas manusia, termasuk makanan, air minum yang selamat, sanitasi, kesihatan, tempat tinggal dan pendidikan.

Selepas semakan PLI oleh Putrajaya pada Julai, kadar kemiskinan mutlak meningkat kepada 5.6% pada 2019 daripada 7.6% pada 2016.

Oleh itu, jumlah isi rumah yang hidup dalam kemiskinan mutlak meningkat dari 16,700 berdasarkan metodologi lama berbanding lebih 400,000 di bawah PLI baharu.

Penyelidik dan pengarang bersama laporan itu, Hawati Abdul Hamid berkata dalam webinar semalam, walaupun bantuan tunai berguna untuk meringankan beban orang miskin, ia hanya benar-benar membantu bagi mereka yang tidak dapat bekerja, seperti golongan berusia dan kurang upaya.

Mencipta peluang pekerjaan yang lebih baik dengan sistem perlindungan sosial yang betul akan menjadi penyelesaian lebih wajar, katanya.

Beliau juga menggesa kemasukan pekerja sektor tidak formal di bawah sistem perlindungan sosial, untuk memastikan mereka juga dapat memperoleh kelebihan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso.

PLI yang disemak semula oleh Malaysia masih lebih rendah berbanding negara lain yang mempunyai tahap pendapatan sama, terutama selepas mempertimbangkan perubahan dalam pola penggunaan, katanya.

Sebagai contoh, ketika data mudah alih yang dahulunya tidak penting kini dianggap sebagai keperluan, menjadi sebahagian daripada perbelanjaan isi rumah.

Pengerusi IPK Nor Mohamed Yakcop juga bersetuju yang perbelanjaan kebajikan sosial adalah penting.

Bagaimanapun, beliau menambahkan lebih penting untuk memastikan ada ekosistem yang tepat, terutama pada saat krisis.

Bekas menteri kewangan itu berkata hampir 30% graduan kini beralih kepada sektor keusahawanan atau tidak formal dan bukannya bekerja dalam sektor swasta atau perkhidmatan awam.

Terdapat kekurangan ekosistem perlindungan sosial yang memberi mereka bantuan diperlukan, katanya.

“Mereka tidak mempunyai KWSP atau Perkeso dan jika mereka kehilangan pekerjaan atau berpindah dari satu industri ke industri lain, mereka tidak mempunyai ekosistem yang menyokong,” kata Nor Mohamed.

“Kita harus mengubah ekonomi kita untuk memiliki ekosistem yang dapat memberi mereka sokongan dan bantuan.” – 14 Oktober, 2020. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen