PKPB: Risiko Covid-19 kepada orang tua jika pulang ke kampung, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang pulang ke kampung halaman berpotensi membawa risiko menyebarkan jangkitan ke daerah mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Oktober, 2020.

MEREKA yang pulang ke kampung bagi mengelak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh mendatangkan risiko Covid-19 kepada warga emas, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata mereka yang pulang ke kampung halaman berpotensi membawa risiko menyebarkan jangkitan ke daerah mereka.

“Bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman, pastikan anda tinggal di rumah. Tetapi (masih) berisiko bagi kita untuk kembali ke kampung kerana kita tidak pasti sama ada kita pembawa virus.

“Kita seharusnya melindungi orang tua di rumah kerana pada usia begitu mereka lebih cenderung terkena jangkitan,” katanya dalam sidang media maya hari ini.

Noor Hisham juga mengingatkan orang ramai untuk tidak meninggalkan rumah mereka kecuali jika perlu.

Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) setiap masa.

Kerajaan semalam mengumumkan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan berkuat kuasa pada tengah mala mini selepas lonjakan kes Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata pergerakan keluar dan masuk di seluruh daerah serta negeri hanya dibenarkan untuk tujuan kerja serta kecemasan.

Namun orang ramai perlu menunjukkan bukti atau surat kebenaran daripada polis sebelum melakukan perjalanan.

Beliau menambah mereka yang perlu merentas Selangor dan Kuala Lumpur ke negeri lain dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran dari balai polis tedekat sebelum melakukan perjalanan. – 13 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen