Adun DAP positif Covid-19


Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata mengalami gejala selepas ujian sapuan pertama pada 27 September dan ujian kedua pada 2 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2020.

ADUN Selangor, Lim Yi Wei adalah ahli politik terbaru yang disahkan positif Covid-19 selepas berkempen untuk calon DAP dalam pilihan raya negeri Sabah.

Adun Kampung Tunku itu berkata beliau mula mengalami gejala selepas ujian sapuan pertama pada 27 September, ujian kedua pada 2 Oktober dan disahkan positif hari ini.

“Dengan penuh rasa kesal, saya ingin mengumumkan bahawa saya telah didapati positif Covid-19,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli politik DAP itu berkata pasukannya juga menjalani kuarantin dengannya sejak 27 September dan akan menjalani ujian sapuan kedua minggu ini.

“Pasukan saya juga mengamalkan pengasingan kendiri sejak hari pertama kami kembali. Mereka juga mendapat keputusan ujian saringan pertama yang negatif dan akan menjalankan ujian saringan kedua dalam waktu terdekat,” tambah Lim.

Beliau meminta semua orang yang kontak rapat dengannya selama 14 hari terakhir untuk menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan terdekat.

Awal hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri diuji positif virus itu setelah kembali dari Sabah.

Bekas mufti Wilayah Persekutuan itu menghadiri mesyuarat dengan pegawai tertinggi kerajaan termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Muhyiddin dalam satu kenyataan kemudian berkata beliau bukan kontak rapat dengan Zulkifli pada mesyuarat 3 Oktober dan oleh, berdasarkan protokol Kementerian Kesihatan, beliau hanya perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari bermula tarikh mesyuarat tersebut.

Kuarantinnya akan berakhir pada 16 Oktober.

Mesyuarat pada 3 Oktober adalah mesyuarat khas Majlis Keselamatan Nasional (MKN) dan dipengerusikan oleh Muhyiddin.

Ia diadakan untuk membincangkan lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini, yang bermula pada awal September dan meningkat menjadi tiga digit dalam beberapa hari terakhir berikutan pilihan raya negeri Sabah pada 26 September.

Noor Hisham mengesahkan semua yang hadir adalam mesyuarat itu menjalani saringan Covid-19 hari ini, dan diarahkan kuarantin di rumah dan diberi gelang pengawasan. – 5 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen