Anwar desak kerajaan kaji semula moratorium pinjaman bersasar


Anwar berkata kerajaan perlu mengkaji semula moratorium bersasar kerana belum ada pemulihan yang berkesan terutamanya dalam aspek sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2020.

PEMIMPIN pembangkang Anwar Ibrahim mendesak kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan moratorium pinjaman bersasar terutama yang memfokuskan pada pinjaman isi rumah berpendapatan rendah dan perniagaan kecil.

Dengan moratorium yang bakal berakhir hari ini Anwar berkata kerajaan perlu mengkaji semula moratorium bersasar kerana belum ada pemulihan yang berkesan terutamanya dalam aspek sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah atau pendapatan tetap untuk perniagaan kecil.

“Adalah mengecewakan dengan keputusan kerajaan tidak melanjutkan moratorium pinjaman selama tiga bulan. 

“Tidak semestinya moratorium penuh, namun ia adalah suatu pengabaian tanggungjawab yang amat serius apabila kerajaan gagal mengenakan moratorium bersasar dan meletakkan peminjam di bawah telunjuk institusi bank.

“Kita belum nampak sebarang dampak pemulihan yang berkesan, terutamanya dalam aspek sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah, atau aliran masuk yang stabil kepada pengusaha-pengusaha kecil di Malaysia. Kelas peminjam seperti ini mesti diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk meringankan beban perniagaan da nisi rumah yang terkena wabak Covid-19, Putrajaya mengumumkan pada 25 Mac penangguhan pembayaran pinjaman termasuk pinjaman sewa beli selama enam bulan.

Pada 29 Julai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa lanjutan moratorium akan diberikan secara bersasar selama tiga bulan bagi mereka yang hilang pekerjaan semasa wabak dan masih tidak bekerja sementara mereka yang berdepan pemotongan gaji akan menerima bantuan pengurangan ansuran bulanan.

Baru-baru ini Muhyiddin berkata 98% permohonan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar telah diluluskan.

Muhyiddin pada minggu lepas berkata sehingga 11 September, institusi perbankan telah berbincang dengan lebih 1.4 juta peminjam, dan lebih 380,000 peminjam telah mengesahkan yang mereka benar-benar memerlukan bantuan ini.

Walaupun Anwar menyambut baik usaha bank dan kerajaan persekutuan beliau berkata kedua-dua masih tidak mempertimbangkan majoriti peminjam.

“Dari 380,000 itu, sebanyak 98% telah diberikan dukungan kewangan oleh institusi bank.

“Meski saya puji langkah tersebut, namun yang seharusnya diambilkira adalah terdapat 8.3 juta peminjam di Malaysia. Secara ringkasnya, bank-bank hanya dapat berhubung dengan 17% dari jumlah keseluruhan peminjam.

“Angka ini tidak begitu meyakinkan, dan ia mencerminkan betapa kerajaan dan institusi bank masih belum memahami sentimen keseluruhan para peminjam,” kata ahli Parlimen Port Dickson.

Beliau menambah kerajaan dan bank perlu lebih telus dan bertanggungjawab.

“Kerajaan dan institusi bank mesti menonjolkan ketelusan dalam soal kecairan (liquidity) dan keuntungan terkini sektor perbankan, dan membentangkannya di Parlimen supaya ahli-ahli Parlimen dapat merencana, mencari jalan dan dapat memungkinkan kebijakan yang munasabah dan menyeluruh,” katanya.  – 30 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen