Politik bantutkan ekonomi Malaysia 10 tahun, kata penganalisis kewangan


Politik di Malaysia dijangka akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2020.

POLITIK di Malaysia dijangka akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun akan datang, ramal penganalisis kewangan Fitch Solutions.

Agensi itu meramalkan pertumbuhan sebenar keluaran dalam negara kasar (KDNK) hanya pada 3.4% untuk tempoh sedekad akan datang berbanding 6.4% pada dekad sebelumnya.

Menurut Fitch Solutions, peralihan kuasa yang kerap ketika Malaysia beralih daripada pemerintahan satu parti adalah antara isu politik yang akan merencatkan ekonomi.

“Kami menjangkakan kuasa akan kerap bertukar tangan, membawa kepada persoalan mengenai kesinambungan dasar dan momentum pembaharuan yang terhenti,” katanya dalam satu ulasan unjuran semasa.

Ia menyebut peralihan kerajaan pada hujung Februari sebagai petunjuk bayangan pergolakan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tumbang pada 24 Februari dan digantikan oleh gabungan baharu Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Walaupun peralihan yang berjaya kepada sistem pelbagai parti atau dua parti dalam demokrasi yang lebih matang akan menguntungkan Malaysia, ketidaktentuan sementara ini menjadi faktor negatif yang dipertimbangkan oleh bakal pelabur,” katanya.

Menurut Fitch Solutions, kedudukan Malaysia sekarang tidak memikat pelaburan asing langsung dari negara yang sedang beralih dari China, ketika ahli politik juga mengambil langkah popular untuk meningkatkan sokongan.

“Ini akan memburukkan suasana perniagaan apabila lebih banyak langkah perlindungan dilaksanakan,” katanya.

Ia memetik dasar PH menaikkan gaji minimum, menyekat pengambilan pekerja asing, dan memberi subsidi untuk menggajikan rakyat tempatan sebagai contoh.

Fitch Solutions juga menyebut pengkhianatan politik membuka ruang kepada rasuah dan kerajaan yang besar kerana amalan naungan politik. – 30 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen