Emir Kuwait meninggal dunia


Bendera dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung atas kematian emir Kuwait , Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah. – Gambar EPA, 30 September, 2020.

PEMERINTAH Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah yang dikenali sebagai arkitek dasar luar Kuwait moden dan turut menjadi perantara ketika berlaku ketegangan di kawasan Teluk meninggal dunia semalam pada usia 91 tahun.

Kerajaan Kuwait segera menamakan adik tirinya berusia 83 tahun, Putera Mahkota Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah, sebagai pewaris.

Sheikh Sabah mempunyai reputasi tinggi sebagai pemimpin yang banyak membantu negaranya dalam serangan Iraq pada 1990, krisis pasaran minyak dunia dan pergolakan di Parlimen dan jalanan.

“Dukacitanya kami berkabung… kerana kematian Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber Al-Sabah,” kata menteri hal ehwal diraja, Sheikh Ali Jarrah Al-Sabah dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Sheikh Sabah meninggal dunia di sebuah hospital di Amerika Syarikat (AS) yang sering dikunjunginya untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas menjalani pembedahan di Kuwait.

Bagaimanapun, punca kematiannya tidak didedahkan. Pada September 2019, Sheikh Sabah menjalani ujian perubatan sebaik tiba di AS, menyebabkan perjumpaannya dengan Presiden Donald Trump, terpaksa dibatalkan. – AFP, 30 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen