Pakar KKM berlepas ke Sabah esok, kata KP Kesihatan


PAKAR pelbagai bidang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berlepas ke Sabah esok bagi melihat dan membantu memantapkan langkah kawalan Covid-19 di negeri itu. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada masa ini petugas barisan hadapan KKM dari pelbagai negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak sudah dihantar untuk membantu pejabat kesihatan negeri Sabah. 

“Petugas dari negeri lain dihantar ke Sabah bagi  memantapkan perkhidmatan, pengesanan Covid-19  di lapangan dan tindakan kesihatan awam di hospital terutamanya Hospital Tawau dan Semporna,” katanya pada sidang media Covid-19 di KKM hari ini. 

Beliau berkata KKM turut menghantar peralatan perlindungan peribadi (PPE) serta alat bantuan pernafasan ke Sabah, dan beliau turut mengucapkan terima kasih  kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana membantu menghantar peralatan ke Tawau.

Ditanya mengenai kluster Bangau-Bangau yang menyaksikan kira-kira 65 peratus atau 276 daripada 421 orang yang diuji, Dr Noor Hisham berkata berdasarkan kepada penanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia bermakna lebih ramai individu dalam komuniti itu yang masih belum disaring.

“Dalam tempoh seminggu Kementerian kesihatan akan memberi tumpuan kepada aktiviti saringan di kawasan berkenaan,” katanya. – Bernama, 29 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen