AirAsia akan buang pekerja lagi, kata sumber


Ragananthini Vethasalam

AirAsia dijangka melakukan pusingan kedua pembuangan pekerja ketika syarikat itu sedang berdepan cabaran kesan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2020.

SYARIKAT penerbangan tambang rendah AirAsia dan AirAsiaX dijangka melakukan proses pembuangan pekerja untuk kali kedua disebabkan kesan wabak Covid-19, kata sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang kakitangan terjejas akan dimaklumkan melalui email dalam tempoh 24 sehingga 72 jam.

Difahamkan CEO AirAsia Riad Asmat mengadakan taklimat berkaitan isu itu hari ini.

“Krew kabin dan juruterbang akan terjejas,” kata sumber.

Sumber menambah yang ada kemungkinan lebih ramai krew kabin akan dibuang kali ini berbanding pembuangan pekerja beberapa bulan lalu.

Pengurusan bagaimanapun masih tidak mendedahkan jumlah pekerja yang terjejas kali ini.

Juruterbang yang tidak dibuang kerja juga diberikan cuti tanpa gaji selama 15 hari sebulan.

Pengurusan juga sedang mempertimbangkan pemotongan gaji sebanyak 25% bagi mereka yang tidak dibuang kerja, kata sumber.

Sumber berkata taklimat berasingan juga diadakan untuk kakitangan AirAsiaX yang menawarkan penerbangan jarak jauh.

AirAsiaX dijangka hanya mengekalkan sekurang-kurangnya 80 krew kabin, kata sumber.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Riad untuk ulasan.

Jun lalu, sejumlah 172 juruterbang, 111 krew kabin dan 50 jurutera hilang kerja.

Pada 3 Jun, sesi townhall diadakan untuk memaklumkan kakitangan pelbagai jabatan tentang pembuangan pekerja, sebahagian daripada proses penstrukturan semula syarikat itu. – 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen