Myanmar tarik lebih AS$5 bilion pelaburan asing


Yangon telah menarik 60 peratus pelaburan dari dalam dan luar negeri.– Gambar EPA, 28 September, 2020.

MYANMAR telah menarik pelaburan asing lebih daripada AS$5 bilion dalam 11 bulan semasa bagi Tahun Kewangan 2019-20 yang berakhir hujung September, lapor agensi berita Xinhua, berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Pengarah Pelaburan dan Pentadbiran Syarikat (DICA) pada Isnin.

Sepanjang tempoh tersebut, sektor tenaga menarik sebahagian besar modal pelaburan dengan lebih AS$1.67 bilion, diikuti sektor pembuatan dan hartanah.

Dari 1 Oktober 2019 hingga 31 Ogos tahun ini, Suruhanjaya Pelaburan Myanmar (MIC) memberikan kebenaran kepada 228 syarikat pelaburan asing.

Daripada Tahun Kewangan 1988-89 hingga Tahun Kewangan 2019-20, Myanmar memperoleh modal pelaburan lebih AS$86.8 bilion daripada syarikat asing yang dibenarkan.

Singapura, China dan Thailand adalah pelabur utama ke Myanmar.

Mengikut wilayah, Yangon telah menarik 60 peratus pelaburan dari dalam dan luar negeri, diikuti oleh Mandalay dengan 30 peratus, dan selebihnya mengalir ke wilayah dan negeri-negeri lain.

Undang-undang Syarikat Myanmar baharu, yang dikuatkuasakan pada Ogos 2018, memberikan pengecualian dan pelepasan cukai kepada pelabur, membenarkan pelabur di daerah yang jauh menikmati potongan cukai sehingga tujuh tahun.– Bernama, 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen