PM Thailand bimbang perjudian dalam talian 


Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha mengarahkan tindakan tegas diambil bagi menangani masalah perjudian dalam talian.– Gambar EPA, 28 September, 2020.

PERDANA Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha telah mengarahkan tindakan tegas diambil untuk menangani perjudian dalam talian dan menyekat akses orang ramai daripada memasukinya, lapor agensi berita Thai (TNA).

Jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata perdana menteri mengeluarkan arahan tersebut kerana bimbang perjudian dalam talian yang boleh diakses orang ramai melalui banyak saluran yang mudah dan menimbulkan masalah sosial.

Perdana menteri menyasarkan iklan perjudian dan aktiviti berkaitan perjudian yang mengikat golongan muda, kata jurucakap itu.

Menurutnya, pada 23 September Kementerian Ekonomi dan Masyarakat Digital, Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Nasional dan Pejabat Polis Diraja Thailand meminta semua penyedia perkhidmatan internet dan pengendali telefon bimbit untuk menyekat akses ke 1,202 laman web perjudian dalam masa 15 hari.

Mereka yang gagal mematuhinya akan didakwa di bawah Akta Jenayah Komputer.

Kajian mendapati bahawa penjudi lebih cenderung ketagihan dan kehilangan lebih banyak wang kepada perjudian dalam talian daripada perjudian luar talian kerana sekatan yang lebih rendah. Oleh itu, semua pihak harus bergabung untuk menghapuskan laman web perjudian secara serius, kata Anucha.– Bernama, 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen