Hajiji ketua menteri Sabah, angkat sumpah esok


GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) sepakat menamakan Pengerusi Bersatu negeri Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri Sabah yang baharu, selepas perbincangan antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pagi ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Hajiji dalam sidang media yang turut disertai pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin, yang dinamakan oleh partinya sendiri sebagai calon ketua menteri.

“GRS sebulat suara memilih saya sebagai ketua menteri,” kata Hajiji.

Bung juga berkata pemilihan Hajiji dicapai hasil kata kesepakatan dan persetujuan semua parti dalam GRS.

Hajiji dan Bung adalah dua nama yang sebelum ini dicadangkan sebagai calon ketua menteri masing-masing oleh Perikatan dan BN.

Dalam pilihan raya negeri Sabtu lalu, Hajiji menang sekali lagi di Sulaman untuk penggal kelapan, sementara Bung Moktar menang di kerusi baharu Lamag.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dipetik berkata pihaknya mahu Bung Moktar dinamakan ketua menteri selepas Umno dan BN dua kali beralah kepada Bersatu untuk jawatan menteri besar di Perak dan perdana menteri.

Istana Negeri Sabah dalam satu kenyataan awal hari ini memaklumkan majlis angkat sumpah ketua menteri Sabah yang baharu akan berlangsung jam 10.30 pagi esok di hadapan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.

GRS yang membentuk kerjasama khusus dalam pilihan raya negeri Sabah menang keseluruhan 38 kerusi dan mendapat dukungan tambahan tiga kerusi yang dimenangi calon bebas.

Daripada jumlah itu, Perikatan menang 17 kerusi sementara BN 14, semuanya melalui Umno, dan PBS 7 kerusi.

Parti Warisan Sabah dan sekutunya yang bergabung atas nama Warisan Plus pula menang 32 kerusi.– 28 September, 2020.
 
 

 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen