Trump cuma bayar AS$750 cukai pendapatan pada 2016, kata laporan


New York Times lapor Presiden AS Donald Trump langsung tidak membayar cukai pendapatan sepanjang 10 tahun lalu. – Gambar EPA, 28 September, 2020.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump cuma bayar AS$750 cukai pendapatan pada 2016, tahun sama beliau menang pilihan raya, lapor New York Times, yang memetik data penyata cukai bagi tempph 20 tahun, semalam.

Laporan turut menyebut Trump hanya membayar AS$750 pada tahun pertamanya di White House, dan langsung tidak membayar cukai pendapatan sepanjang 10 tahun lalu kerana presiden itu melaporkan yang beliau lebih banyak rugi daripada untung.

Trump menafikan laporan NYT, menyifatkannya berita palsu.

Undang-undang AS tidak mewajibkan presiden negara itu mendedahkan perincian butiran kewangan mereka. Namun, setiap presiden sejak pentadbiran Richard Nixon berbuat demikian.

Trump bagaimanapun memecah tradisi, apabila enggan mendedahkan penyata cukainya, sehingga mencetuskan spekulasi.

Penyata cukai Trump jadi isu utama pada pilihan raya 2016, dan sering didebatkan pada kempen menjelang pemilihan yang akan diadakan pada 3 November. Trump kini berkempen untuk mengekalkan jawatan presiden.

NYT berkata data cukai yang dilihat akhbar itu mendedahkan pelupusan kos peguam bela jenayah, rumah agam yang dijadikan rumah percutian keluarga sehinggalah jutaan dolar yang diterima oleh presiden itu dari pertandingan Miss Universe 2013 di Moscow.

Peguam bagi Trump Organization, Alan Garten dipetik NYT berkata sepanjang sedekad yang lalu Trump membayar berpuluh juta dolar cukai pendapatan, termasuk berjuta dolar lagi sejak umum untuk bertanding pada 2015. – AFP, 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen