Sri Lanka kembalikan kontena sampah haram ke Britain


Pegawai kastam Sri Lanka memeriksa kontena yang mengandungi sampai di pelabuhan Colombo. – Gambar EPA, 27 September, 2020.

SRI Lanka menghantar semula beberapa kontena mengandungi sampah ke Britain selepas mendakwa penghantaran kontena mengandungi sampah ke negara itu adalah menyalahi undang-undang.

Kerajaan negara itu mendakwa tindakan Britain menghantar sampah ke negaranya adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang menyelia penghantaran bahan berbahaya.

21 kontena itu menyimpan sekurang-kurangnya 260 tan sampah, Ia pertama kali tiba dengan kapal di pelabuhan utama ibu kota Colombo antara September 2017 dan Mac 2018, kata pihak kastam kepada AFP.

Kastam turut menambah bahawa penghantaran semula itu berlepas pada Sabtu.

Sampah yang ditemui termasuk tilam, karpet dan tikar, selain sisa perubatan, kata pihak berkuasa.

“Pengirim telah setuju untuk mengambil semula 21 kontena ini,” kata jurucakap kastam Sunil Jayaratne kepada AFP pada Ahad.

“Kami berusaha untuk mendapatkan pampasan dari mereka yang bertanggungjawab memasukkan kontena tersebut ke negara ini.”

Menurut kerajaan Sri Lanka, 242 kontena lain dari Britain juga turut membawa sampah haram yang melanggar undang-undang antarabangsa, ia masih terbengkalai di pelabuhan yang sama dan di zon perdagangan bebas di luar ibu kota.

Kesemua kontena itu tiba pada antara tahun 2017 dan 2018.

Kerajaan Sri Lanka kini sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengirim 242 kontena dari negara tersebut.

Siasatan Sri Lanka tahun lalu mendapati hampir 3,000 tan sisa berbahaya yang diimport secara haram ke negara itu. Pihak berkuasa berjaya menghantar semula sekitar 180 tan ke India dan Dubai pada tahun 2017 dan 2018.

Beberapa negara Asia kini mula berkeras terhadap tindakan negara maju yang membuang sampah ke wilayah mereka, sejak dua tahun kebelakangan ini, mereka mula menolak sampah dari wilayah lain. – 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen