Anwar harap kerajaan Sabah dibentuk dengan aman, bijaksana dan berhikmah


Anwar Ibrahim berharap proses pembentukan kerajaan Sabah berjalan dengan aman, bijaksana dan penuh hikmah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2020.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata parti itu menghormati pilihan penduduk Sabah dan berharap proses pembentukan kerajaan negeri dapat berjalan dengan aman, bijaksana dan penuh hikmah.

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Warisan Plus, terutama sekali Mohd Shafie Apdal dan Parti Warisan yang berjaya menang 29 kerusi, DAP (6) dan Upko (1) serta ahli partinya, PKR, kerana pencapaian mereka dalam pilihan raya Sabah kali ini.

“Tahniah juga diucapkan buat Christina Liew, pengerusi PKR Sabah di atas kejayaan PKR Sabah mempertahan dua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta usaha baik terutama di DUN Sook yang melihat peningkatan hampir dua kali ganda peratus undi buat PKR berbanding 2018,” katanya di Facebook, hari ini.

Anwar juga memuji penduduk Sabah yang keluar mengundi walaupun negara sedang berada di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan untuk mengekang wabak Covid-19.

“Saya pohon semua pihak termasuk pimpinan parti akur dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkait Covid-19 terutama dalam isu saringan dan kuarantin.”

Tambahnya, lonjakan kes terutama jangkitan tempatan yang berlaku sekarang sangat membimbangkan dan berharap rakyat Malaysia terus patuh SOP pencegahan wabak.

Semalam, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang 38 kerusi DUN membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri majoriti mudah. – 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen