Korea Utara beri amaran supaya Korea Selatan tak ceroboh perairan


Kejadian bunuh seorang pegawai Korea Selatan oleh tentera Korea Utara mencetuskan ketegangan di Semenanjung Korea, memaksa Kim Jong-un membuat permohonan maaf. – Gambar AFP, 27 September, 2020.

KOREA Utara hari ini memberi amaran supaya tentera laut Korea Selatan berhenti melintasi perairarannya bagi mencari mayat seorang pegawai Seoul yang ditembak mati tentera Pyongyang.

Media negara itu berkata tenteranya akan melakukan pencarian mayat dan memberi amaran tindakan tentera laut Korea Selatan boleh memburukkan lagi masalah.

Pegawai perikanan itu ditembak mati oleh tentera Korea Utara pada Selasa- pembunuhan orang awam Korea Selatan pertama oleh tentera Korea Selatan sejak berdekad lamanya- memaksa pemimpin Kim Jong-un membuat permohonan maaf.

Tentera Selatan menuduh tentera Utara membakar mayat lelaki itu selepas menembaknya.

Kematian itu adalah “kes buruk yang tidak sepatutnya berlaku”, kata agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, hari ini, menambah yang Pyongyang sudah melancarkan operasi mencari mayat itu di perairarannya.

Laporan menyebut, Korea Utara sedang mempertimbangkan prosedur dan kaedah penyerahan mayat ke Selatan sekiranya ditemui.

Ia bagaimanapun memberi amaran yang kehadiran kapal tentera laut Selatan berhampiran tempat kejadian yang didakwanya sudah memasuki perairan Utara.

“Kami tidak akan memandang remeh sebarang pencerobohan perairan kami dan memberi amaran serius kepada Selatan untuk tidak melakukannya,” kata KCNA.

“Ia dibimbangi mencetuskan satu lagi kejadian buruk tidak diingini.”

Korea Selatan semalam menuntut Korea Utara menjalankan siasatan kejadian dan berkata ia akan memohon siasatan bersama sekiranya diperlukan.

Permohonan maaf dari Korea Utara jarang berlaku dan mesej daripada Kim dikeluarkan ketika hubungan kedua-dua Korea tegang dan rundingan nuklear antara Pyongyang dan Washington kini tergendala.

Media Korea Utara tidak melaporkan kandungan permohonan maaf Kim kepada Selatan. – AFP, 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen