Tahniah Sabah, kata Abang Jo


Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berharap keputusan pilihan raya Sabah dapat menyumbang kepada kestabilan politik negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2020.

KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg berharap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berakhir semalam akan menyumbang kepada kestabilan politik negeri utara Borneo itu.

“Saya ucapkan tahniah kepada orang Sabah,” katanya hari ini.

Abang Johari yang ditemui selepas menghadiri dialog bersama usahawan muda anjuran portal berita Sarawak, Dayak Daily di Kuching, juga berharap negeri tetangga itu akan terus maju di bawah pentadbiran baharu. 

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak Dr James Jemut Masing dalam kenyataannya berkata keputusan PRN Sabah memberi petunjuk kepada rakyat Sarawak untuk bersama-sama dalam mengukuhkan lagi Malaysia sebagai sebuah negara. 

Beliau juga berharap wakil rakyat di bawah Gabungan Rakyat Sabah akan menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang dijanjikan. 

Pada pilihan raya itu, GRS menang 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah yang dipertandingkan, sementara Warisan Plus meraih 32 kerusi dan baki tiga lagi dimenangi oleh calon Bebas. – Bernama, 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen