Perintah berkurung waktu malam di Melbourne ditarik balik 


Melbourne menjadi pusat gelombang kedua Australia selepas isu keselamatan menyebabkan virus tersebar dari hotel digunakan untuk kuarantin pelancong yang pulang dari luar negara. – Gambar EPA, 27 September, 2020.

PERINTAH berkurung waktu malam di bandar kedua terbesar di Australia akan ditarik balik mulai Isnin, hampir dua bulan selepas ia dilaksanakan di seluruh Melbourne bagi mengekang wabak koronavirus yang melonjak.

Ketua negeri Victoria Daniel Andrews berkata penduduk Melbourne bebas meninggalkan kediaman mereka pada bila-bila masa untuk bekerja, bersenam, membeli barang keperluan atau memberi rawatan.

Kelonggaran itu diberi selepas 16 jangkitan baharu dan dua kematian dilaporkan di Victoria pada Ahad dan kes aktif di negeri ini jatuh di bawah 400 untuk pertama kalinya sejak 30 Jun.

Perintah berkurung pada waktu malam Melbourne dilaksanakan pada 2 Ogos bersama sekatan lain kerana kes koronavirus melonjak di bandar yang mempunyai penduduk kira-kira 5 juta orang.

Ketua pegawai kesihatan Brett Sutton berkata ia “bukan tindakan yang wajar untuk diteruskan” memandangkan jumlah kes rendah.

Rakyat masih akan berada dalam jarak 5km dari rumah mereka dan denda kerana melanggar sekatan lain akan dinaikkan kepada AUS$5,000 (AS$3,515) untuk menghalang parti.

“Kami tidak membuat keputusan ini dengan mudah tetapi tada yang berhak untuk meletakkan rakyat Victoria dalam risiko selepas apa yang mereka lakukan ... dan berpotensi menyebarkan virus,” kata Andrews pada sidang media.

Melbourne, ibu negeri Victoria, menjadi pusat gelombang kedua Australia selepas isu keselamatan menyebabkan virus itu tersebar dari hotel yang digunakan untuk mengkuarantin pelancong yang pulang dari luar negara.

Andrews berkata beberapa sekatan lain juga akan ditarik balik, yang membolehkan pekerja dalam beberapa industri kembali dan perkhidmatan kecil pertubuhan agama disambung semula.

Pelajar sekolah rendah akan kembali ke kelas mulai pertengahan Oktober dan pusat jagaan kanak-kanak akan dibuka semula dengan serta merta.

Lawatan ke hospital dan kemudahan penjagaan orang tua boleh diteruskan dengan syarat ketat tetapi lawatan ke rumahtetap dilarang dan perjumpaan di luar rumah terhad kepada lima orang daripada dua isi rumah.

Andrews berkata bukti itu “tidak boleh disangkal” yang kediaman adalah “salah satu persekitaran paling berisiko” bagi penularan virus.

Australia secara relatifnya berjaya mengekang penyebaran Covid-19, dengan lebih 27,000 kes dan 872 kematian pada populasi 25 juta.

Sebilangan besar wilayah sekarang melaporkan sedikit atau tiada jangkitan harian baharu, yang membolehkan sekatan ditarik balik di seluruh negara. – AFP, 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen