Garis panduan kebun bandar siap Oktober, kata Zuraida


Garis panduan itu yang dirangka oleh Jabatan Landskap Negara merangkumi SOP serta menjadi sumber rujukan bagi memudahkan mereka yang terlibat dalam aktiviti kebun bandar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2020.

GARIS panduan aktiviti pertanian kebun bandar kini di peringkat akhir penelitian dan dijangka siap penghujung Oktober ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata garis panduan itu yang dirangka oleh Jabatan Landskap Negara merangkumi prosedur operasi standard (SOP) serta menjadi sumber rujukan bagi memudahkan mereka yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

“Garis panduan yang bakal dilancarkan itu nanti lebih lengkap kerana ‘urban farming’ yang dilakukan di bandar kadang kala di bawah laluan elektrik, di tepi sungai dan sebagainya.

“Aktiviti tersebut tidak ada penyelarasan dengan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran serta Tenaga Nasional Berhad, oleh itu garis panduan yang akan dikeluarkan nanti akan menyelaras aktiviti ‘urban farming’,” katanya.

Zuraida berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Bengkel Kebun Bandar melibatkan 53 peserta di Frangipani Natural Farm School, di Langkawi, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah Azman Nasrudin dan Pengarah Urusan Frangipani Natural Farm School Langkawi Prof Adjung Anthony Wong. – Bernama, 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen