Populariti Muhyiddin, prestasi Warisan punca GRS menang, kata badan pemikir


Muhyiddin Yassin bukan sahaja disukai penyokong Perikatan Nasional tetapi juga penyokong Warisan Plus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2020.

POPULARITI Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan prestasi pentadbirannya adalah faktor utama kemenangan blok politik disertainya pada Pilihan Raya Negeri Sabah, kata sebuah badan pemikir.

Malah, Muhyiddin turut digemari penyokong musuhnya dalam Warisan Plus, kata Society Empowerment and Economic Development of Sabah (SEEDS), dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Perikatan Nasional diterajui Muhyiddin bersama-sama Barisan Nasional Sabah dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk pakatan tidak rasmi dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada pilihan raya semalam, PN menang 17 kerusi, BN (14) dan PBS (7) memberikan mereka 38 kerusi untuk membentuk majoriti dalam DUN Sabah yang mempunyai 73 kerusi.

SEEDS berkata populariti Muhyiddin ketara dalam kajiannya melibatkan pengundi di 25 kawasan Parlimen di Sabah.

Muhyiddin bukan hanya popular dalam kalangan penyokong BN-PN-PBS, tetapi beliau turut disukai penyokong parti tempatan dan Warisan Plus.

“Kajian membandingkan PN dan Warisan dan ia menunjukkan ketidakpuasan hati yang jelas dalam kalangan rakyat terhadap Warisan dalam aspek tadbir urus dan pengurusan ekonomi yang mencukupi untuk pengundian menentang Warisan dan sekutunya,” kata SEEDS dalam satu kenyataan.

Pengurusan PN ketika negara berdepan wabak Covid-19 membantu mengalih sokongan daripada Warisan Plus kepada GRS, katanya lagi.

Hasil kajian juga mendapati majoriti pengundi Sabah percaya mereka perlukan kerajaan negeri yang sepakat dengan kerajaan persekutuan, sesuatu yang tidak dipunyai Warisan Plus kerana ia menyokong Pakatan Harapan.

Warisan Plus diterajui Mohd Shafie Apdal, terdiri daripada Warisan, DAP, PKR dan Upko menang 32 kerusi semalam.

Calon Bebas menang di tiga kerusi.

“Walaupun mesej Warisan Plus diterima baik penduduk Sabah, ia masih tidak mencukupi untuk mengalihkan undi pengundi yang memang jelas mahukan kerajaan dengan tumpuan pembinaan semula ekonomi dan mempunyai rancangan untuk mengurangkan beban ekonomi rakyat.

“Mesej perpaduan Warisan, walaupun benar dan besar, tidak mampu diterjemahkan dalam tindakan pengundian memandangkan perpaduan bukanlah isu utama orang Sabah seperti mana di Semenanjung,” kata SEEDS lagi. – 27 September, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen