Pemimpin GRS bermesyuarat tentukan calon ketua menteri


41 wakil rakyat dan pemimpin kanan parti Gabungan Rakyat Sabah bermesyuarat hari ini selepas menang pilihan raya semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 27 September, 2020.

PEMIMPIN kanan parti-parti yang bekerjasama sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menang Pilihan Raya Negeri Sabah semalam mengadakan mesyuarat hari ini, dipercayai merungkaikan isu calon ketua menteri.

Mesyuarat disertai pemimpin Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berlangsung di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa menulis di Twitter bahawa GRS akan menghadap Yang Di- Pertua Sabah Juhar Mahiruddin hari ini.

Beliau juga mendedahkan GRS – yang disebutnya sebagai GRS Plus – kini mempunyai 41 kerusi, dipercayai tambahan tiga kerusi yang dimenangi calon Bebas di Kuamut, Kemabong dan Pitas.

“Semua 41 Adun GRS Plus bertemu mesra buat pertama kali hari ini. Ketua- ketua parti Umno, Bersatu dan PBS akan mengadap TYT hari ini juga, Insyaallah,” tulis setiausaha agung Barisan Nasional itu pada jam 12.15 tengahari tadi.

Mesyuarat itu disertai Setiausaha Agung Perikatan Hamzah Zainuddin, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid, dan Presiden Star Jeffrey Kitingan.

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar dan Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor, yang kedua-duanya dicalonkan masing-masing oleh BN dan Perikatan sebagai calon ketua menteri, juga hadir.

Annuar turut berkata: “Permuafakatan pimpinan Umno, Bersatu dan PAS diteruskan atas wadah satukan rakyat pelbagai bangsa dan agama.

“Sabah turut menunjuk jalan ke arah Malaysia yang lebih baik dan Sabah yang terus maju. Terima kasih Sabah,” kata ahli Parlimen Ketereh itu lagi.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin (kiri) dan  Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob (kanan) pada pertemuan di Kota Kinabalu, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 27 September, 2020.

GRS mempunyai 38 Adun terdiri daripada 17 Adun Perikatan Nasional, Barisan Nasional (14) serta PBS (7). 

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, Warisan Sabah menang kerusi terbanyak dengan 29 kerusi, diikuti PN (17), BN (14), PBS (7), Bebas (3), PKR (2) dan Upko (1). Semua kerusi BN dimenangi Umno.

Terdapat 73 kerusi dalam DUN Sabah.

Awal hari ini, Astro Awani melaporkan istiadat mengangkat sumpah ketua menteri Sabah yang baharu tidak akan diadakan hari ini.

Laporan itu memetik sumber berkata pihak Istana Negeri akan mengeluarkan satu kenyataan mengenainya hari ini. – 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen