17 pelombong terperangkap di China


Kemalangan lombong arang batu sering berlaku di China kerana pematuhan dan penguatkuasaan peraturan lemah. – Gambar AFP, 27 September, 2020.

TUJUH belas orang pekerja terperangkap dalam lombong arang batu bawah tanah di China hari ini selepas ia dipenuhi karbon monoksida, menurut notis dikeluarkan kerajaan tempatan.

Lif yang membawa pekerja lombong terbakar awal pagi tadi, lapor agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan kerajaan tempatan, yang meningkatkan tahap bahaya kebocoran gas karbon monoksida ke dalam lombong.

Lebih 100 penyelamat dan petugas perubatan sedang berada di lombong di bandar Chongqing dan punca kejadian masih disiasat, kata kerajaan tempatan Qijiang di Weibo.

Lombong Arang Batu Songzao adalah milik syarikat tenaga negeri, Chongqing Energy.

Kemalangan lombong sering berlaku di China, kerana industri itu mempunyai rekod keselamatan lemah dan penguatkuasaan peraturan jarang dibuat.

Sekurang-kurangnya 14 orang maut dalam letupan lombong Disember lepas di Guizhou.

Pada Disember 2018, tujuh pelombong terbunuh di Chongqing selepas tali lif membawa mereka terputus.

Pada Oktober tahun sama, 21 pelombong maut di Shandong selepas tekanan dalam lombong menyebabkan runtuhan berlaku, memerangkap kesemua mereka. Hanya seorang pelombong berjaya diselamatkan. – AFP, 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen