Perancis bakal lumpuh kerana gelombang kedua Covid-19


Sistem kesihatan Perancis bakal lumpuh jika tiada tindakan diambil bagi mengekang gelombang kedua wabak Covid-19. – Gambar AFP, 27 September, 2020.

GELOMBANG kedua Covid-19 akan melumpukan sistem kesihatan Perancis, kata seorang doktor perubatan terkemuka negara itu.

“Gelombang kedua berlaku lebih pantas berbanding jangkaan,” kata Patrick Bouet, ketua Majlis Kumpulan Doktor Kebangsaan kepada akhbar Journal du Dimanche.

Sekatan terbaru untuk mengekang penularan wabak di kawasan paling teruk terjejas termasuk di Marseille dan Paris kini berdepan bantahan rakyat.

Bouet memberitahu akhbar tersebut yang amaran diberikan Menteri Kesihatan Olivier Veran minggu ini tidak berkesan.

“Dia tidak kata jika dalam tiga atau empat minggu lagi, jika tiada perubahan, wabak akan meledak di seluruh Perancis untuk beberapa bulan sepanjang musim luruh dan sejuk,” katanya.

Tidak akan ada kakitangan perubatan tambahan lagi dan sistem kesihatan Perancis tidak akan mampu memenuhi semua permintaan yang wujud, katanya memberi amaran.

Pekerja kesihatan bertanggungjawab menyediakan “keajaiban” untuk mengekang wabak, tambahnya.

“Ramai antara mereka yang kepenatan dan trauma.”

Perancis semalam melaporkan 14,412 kes baharu dalam tempoh 24 jam- lebih rendah sedikit berbanding 16,000 kes yang dilaporkan pada Khamis dan Jumaat.

Tetapi, sejak tujuh hari lepas, 4,102 dimasukkan ke hospital, 763 dirawat dalam ICU.

Semalam, pemilik bar dan restoran Marseille mengadakan tunjuk perasaan di luar mahkamah komersial membantah arahan penutupan yang bermula petang ini. – AFP, 27 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen