1.3 tan ketum dirampas polis di Bukit Kayu Hitam


Ini merupakan rampasan ketum terbesar setakat tahun ini. Gambar fail menunjukkan air ketum yang telah diproses untuk diminum. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 September, 2020.

POLIS merampas lebih 1.3 tan metrik daun ketum bernilai kira-kira RM13,000 dalam operasi di dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Badak dekat Bukit Kayu Hitam, pagi semalam.

Ketua Polis Kedah Hasanuddin Hassan berkata, dalam operasi kira-kira 11 pagi itu, pasukan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu terpaksa meredah hutan sejauh kira-kira 10 kilometer dari jalan utama (Jalan Sintok ke Padang Terap).

“Setiba di lokasi, kami menjumpai tiga pondok yang diperbuat daripada plastik kanvas dan pohon kayu, di dalamnya terdapat longgokan guni berisi daun hijau yang kita syaki daun ketum.

“Kami pantau selama enam jam, namun tiada pihak datang menuntutnya, lalu kita rampas dan bawa balik untuk siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata sebanyak 15 guni berjaya dibawa keluar dari lokasi, manakala 85 guni lagi akan dikeluarkan secara berperingkat.

Hasanuddin berkata siasatan awal mendapati, daun ketum yang dirampas berkemungkinan untuk diseludup ke negara jiran, kerana ia mendapat permintaan tinggi selain lokasi yang hampir dengan sempadan Malaysia-Thailand.

“Kita nilaikan harga pasaran di sini RM10 hingga RM15 sekilogram, tetapi apabila diseludup ke negara jiran mencecah RM50 hingga RM60 sekilogram dan ini adalah rampasan terbesar setakat tahun ini,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 30 (1) Akta Racun 1952. – Bernama, 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen