Kidness Malaysia edar ikan percuma buat warga terjejas PKPD Kota Setar


Pengerusi Kindness Malaysia Mohd Azrul Mohd Razak turun sendiri membantu golongan terjejas PKPD di Kota Setar. Katanya, inisiatif melalui Bank Makanan Kindness Malaysia itu bertujuan meringankan beban golongan yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan di kawasan tersebut berikutan pelaksanaan PKPD selama dua minggu bermula 11 September hingga semalam. – Gambar ihsan Facebook Kindness Malaysia, 26 September, 2020.

BADAN bukan kerajaan Kindness Malaysia dengan kerjasama seorang ahli perniagaan mengedarkan ikan segar percuma sebanyak 100 kilogram (kg) kepada 100 keluarga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Kota Setar hari ini.

Pengerusi Kindness Malaysia Mohd Azrul Mohd Razak berkata inisiatif melalui Bank Makanan Kindness Malaysia itu bertujuan meringankan beban golongan yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan di kawasan tersebut berikutan pelaksanaan PKPD selama dua minggu bermula 11 September hingga semalam.

“Ahli perniagaan yang enggan dikenali itu menyumbangkan 100 kg ikan kembung segar untuk diedarkan kepada golongan memerlukan melalui program ‘Fish 4 Free’. Program bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari ini memperuntukkan sekilogram ikan bagi satu isi rumah.

“Senarai penerima sumbangan diambil daripada data yang kita simpan melalui Bank Makanan Kindness Malaysia yang pernah menerima bantuan makanan sebelum ini, termasuk penerima yang menghubungi pihak Kindness Malaysia untuk memohon bantuan,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Azrul berkata, bagi penerima yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan atau pengangkutan, sumbangan dihantar terus ke rumah mereka oleh sukarelawan.

PKPD Kota Setar yang berkuat kuasa di 28 mukim di seluruh daerah Kota Setar itu melibatkan 366,787 penduduk, dilaksanakan berikutan peningkatan kes positif Covid-19 daripada Kluster Sungai dan Kluster Tawar di daerah terbabit.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata PKPD Kota Setar ditamatkan, namun PKPD Bersasar Secara Pentadbiran (PKPDB) di Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak dilanjutkan hingga 7 Oktober ini. – Bernama, 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen