2 pemandu maut, treler masuk gaung


DUA pemandu treler maut selepas kenderaan berat yang membawa muatan besi rod dan almari besi bergesel sebelum terbabas ke dalam gaung di kilometer 421.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Bukit Tagar, Selangor awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata mangsa yang maut dalam kemalangan pada kira-kira 5 pagi itu ialah S. Esaias, 44, beralamat di Sungai Lalang, Bedong, Kedah dan Asmawi Abdullah, 46, beralamat di Parit Sungai Abdullah, Bagan Serai, Perak.

Beliau berkata S.Esaias dan Asmawi yang masing-masing memandu treler jenis Hino yang membawa muatan besi rod dan treler Scania yang membawa muatan almari besi, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, tangan dan badan.

“Treler dipandu S. Esaias yang dalam perjalanan dari Batu Kurau, Perak ke Kuala Lumpur telah bergesel dengan treler dipandu Asmawi di lorong kecemasan, menyebabkan kedua-duanya gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas ke dalam gaung di kiri lebuh raya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, kemalangan berlaku di jalan lurus dan keadaan masih gelap. Akibat kejadian itu, kedua-dua treler terbabit remuk di bahagian hadapan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. – Bernama, 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen