Hanya PM boleh panggil sidang khas Dewan Rakyat, kata Speaker


Ragananthini Vethasalam

Hanya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai kuasa untuk memanggil persidangan Dewan Rakyat lebih awal, kata Speaker Azhar Azizan Harun kepada The Malaysian Insight. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2020.

HANYA Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai kuasa untuk memanggil persidangan Dewan Rakyat lebih awal, kata Speaker Azhar Azizan Harun kepada The Malaysian Insight.

“Persidangan khas boleh diadakan di bawah Perintah Tetap 11 (3) jika semasa penangguhan Dewan, perdana menteri menyatakan bahawa adanya kepentingan umum untuk diadakan persidangan lebih awal,” katanya.

Speaker menjawab pertanyaan adakah persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan untuk mengesahkan jumlah undi percaya terhadap Kerajaan Perikatan Nasional ketika ini selepas pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim mengumumkan mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Azhar berkata tidak ada seorang pun kecuali perdana menteri yang boleh meminta untuk diadakan persidangan awal.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semalam sekali lagi menyeru kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk membuktikan beliau mempunyai majoriti di Parlimen selepas Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson mengatakan bahawa kerajaan Perintahan Nasional telah jatuh.

“Yang penting sekarang adalah mengesahkan adakah perdana menteri masih memiliki majoriti untuk memegang jawatan,” katanya.

Dalam pengumumannya pada Rabu, Anwar tidak menyatakan dengan jelas jumlah ahli Parlimen yang kini menyokongnya.

Anwar berkata beliau hanya akan mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang beralih menyokongnya selepas menghadap Agong.

Sejurus selepas pengumuman Anwar, DAP dan Amanah mengeluarkan kenyataan turut menyokong presiden PKR berkenaan.

GPS bagaimanapun berjanji untuk menyokong Muhyiddin.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli partinya bebas untuk memberikan sokongan kepada Anwar sekiranya mereka mahu.

Dewan Rakyat akan bersidang kali terakhir tahun ini pada 2 November.

Persidangan akan berlangsung selama 27 hari dan kerajaan Muhyiddin akan membentangkan belanjawaan pertamanya. – 25 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen