Azmin gelar Anwar pembohong tegar, psikopat politik


Mohamed Azmin Ali gelar Anwar Ibrahim pembohong tegar dan psikopat politik selepas presiden PKR itu umum mendapat sokongan majoriti untuk bentuk kerajaan baharu hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

MOHAMED Azmin Ali menggelar Anwar Ibrahim pembohong tegar dan psikopat politik, selepas presiden PKR itu mendakwa mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN).

“Pembohong tegar dan psikopat politik,” katanya di Twitter. Walaupun tidak merujuk kepada sesiapa, hantaran itu dimuat naik sejurus selepas Anwar mengadakan sidang media di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu sebelum ini adalah penyokong setia Anwar sejak mereka berada dalam Umno.

Azmin pernah dilantik sebagai pegawai khas Anwar, yang ketika itu menteri pendidikan pada 1980-an, sehinggalah Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1998, semasa dalam kerajaan Barisan Nasional.

Pergolakan antara Azmin dengan Anwar memuncak apabila beliau dan 10 ahli Parlimen lain keluar dari PKR pada hujung Februari menyertai Perikatan Nasional. 

Azmin merupakan bekas timbalan presiden PKR.

Anwar pada sidang media tengah hari tadi umum mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan PN. Ketua pembangkang itu bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan apabila diasak oleh pemberita.

Katanya, butiran lanjut mengenai jumlah sokongan akan didedahkan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, yang kini menjalani rawatan di  Institut Jantung Negara (IJN).

Daripada 222 kerusi di Parlimen, 109 diwakili pembangkang. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen