Anwar umum majoriti? Dr Mahathir kata tunggu dan lihat


Ini bukan kali pertama Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk bentuk kerajaan, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

INI bukan kali pertama Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan majoriti untuk bentuk kerajaan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Beliau dipetik The Edge Singapore berkata demikian, mengulas pengumuman Anwar hari ini bahawa presiden PKR itu mendapat sokongan yang ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita kena tunggu dan lihat jika ini adalah satu lagi episod dakwaan yang tidak dapat dibuktikan,” Dr Mahathir dipetik berkata.

Tambahnya, ini bukanlah kali pertama Anwar membuat dakwaan serupa.

Kali pertama ketua pembangkang itu mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen ialah pada 2008, ketika kerajaan di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Terdahulu hari ini, Anwar mendakwa beliau mendapat sokongan kukuh daripada majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan apabila diasak oleh pemberita.

Katanya, butiran lanjut mengenai jumlah sokongan akan didedahkan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, yang kini menjalani rawatan di  Institut Jantung Negara (IJN).

Daripada 222 kerusi di Parlimen, 109 diwakili pembangkang.

Pada sidang media tengah hari tadi, Anwar berkata buat masa ini Dr Mahathir dan partinya Pejuang belum menunjukkan sebarang sokongan kepadanya. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen