Anwar bakal buat pengumuman penting tengah hari ini


Presiden PKR Anwar Ibrahim dikatakan sudah mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri berikutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

ANWAR Ibrahim akan membuat pengumuman penting hari ini, ketika spekulasi semakin hangat yang pemimpin pembangkang mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk menjadi perdana menteri berikutnya.

Cakap-cakap berlegar sejak awal September yang presiden PKR itu membuat perjanjian dengan ahli Parlimen Umno dan Sarawak bagi memperoleh majoriti Parlimen 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Difahamkan, Anwar juga sudah menulis surat kepada Istana Negara mengenai perkembangan terkini.

“Harap maklum bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan satu sidang media khas berkenaan satu pengumuman penting pada tengah hari ini di Clarke 1 di Hotel Le Meridien, KL,” menurut kenyataan dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Anwar kalah dengan majoriti tipis dengan perdana menteri semasa Muhyiddin Yassin pada akhir Februari untuk membentuk kerajaan apabila Dr Mahathir Mohamad mengundurkan diri selepas parti Bersatu bersekutu dengan Umno, PAS dan sekumpulan ahli Parlimen Sarawak.

Ini adalah September kedua September yang Anwar dikatakan dapat membentuk kerajaan. 

Kali pertama pada 2008 ketika pentadbiran Abdullah Badawi hilang dua pertiga majoriti Parlimen.

Sumber hari ini berkata yang Anwar sudah mencapai kesepakatan dengan 20 wakil rakyat yang kini menjadi sebahagian daripada pakatan Perikatan Nasional dipimpin Muhyiddin.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara sejak Isnin.

Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari, dan Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri beberapa jam kemudian.

Ini menyebabkan kejatuhan pemerintahan PH berusia 22 bulan, yang membolehkan Muhyiddin menjadi perdana menteri dengan sokongan Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun, Bersatu bertelegah dengan Umno selepas parti itu tidak mahu menjadi anggota PN secara rasmi dan mengajak Bersatu bergabung dengan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS, yang kemudian diterimanya.

Kemasukan Bersatu itu, tiga parti Melayu dalam MN itu menjadi tulang belakang kerajaan, dengan sokongan GPS, MCA, MIC dan beberapa parti Sabah. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen