Betulkah tadah air hujan teknik zaman batu?


BARU-BARU ini kecoh dengan kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggalakkan rakyat Kelantan untuk menadah air hujan untuk kegunaan harian. Kenyataan ini menerima pelbagai reaksi dari kalangan warganet, hingga ada yang menyifatkan cadangan itu seperti kembali ke zaman batu, mundur dan tidak futuristik.

Namun, cadangan ini tidaklah seteruk yang disangka. Kaedah ini ternyata sudah lama dipraktikkan di negara-negara lain seperti Brazil, New Zealand, Korea Selatan, Thailand, dan banyak lagi.

Langkah ini alternatif kepada sistem saliran air yang memerlukan kos yang tinggi dan terbukti mampu menjimatkan sumber.

Air hujan yang ditadah boleh digunakan untuk mengairi tanaman, membasuh pinggan, mencuci bilik air, dan juga boleh dijalankan penulenan untuk kegunaan sebagai sumber minuman. Kaedah penadahan air hujan ini juga telah digunakan oleh beberapa kolej kediaman di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, bagi memudahkan para pelajar membersihkan kenderaan mereka.

Dengan kekurangan air menjadi masalah mendesak bagi banyak kawasan berpenduduk padat, sistem tadahan air hujan dapat menyediakan bekalan di rumah dan sesuai bagi tujuan perniagaan dengan menggunakan air yang telah ditadah, pada musim panas dan kurang hujan.

Langkah ini secara tidak langsung dapat mengurangi permintaan daripada sistem biasa.

Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada sistem empangan semata-mata. Seperti yang kita tahu, keadaan iklim sekarang tidaklah menentu dan perubahan iklim boleh mengakibatkan empangan-empangan ini mengering dan dapat mengurangkan kapasitinya sehingga lebih 19%, seperti yang berlaku di empangan Teluk Bahang Pulau Pinang.

Apabila berlakunya kemarau, akan timbul pelbagai konflik antara keperluan air di perumahan, keperluan bagi kegunaan perniagaan, dan keperluan bagi tujuan pertanian. Kita semua sedia maklum bahawa kesemua aktiviti ini memerlukan sumber air yang banyak.

Jika benar pihak kementerian ingin menggalakkan rakyat untuk menggunakan sistem tadahan air hujan di rumah, banyak perkara yang perlu diambil kira. Perkara paling utama ialah kos.

Perlaksaan sistem tadahan air hujan di rumah memerlukan beberapa pengubahsuaian dari segi bentuk atap bumbung, bagi memastikan air hujan dapat dikumpulkan secara maksimum dan dapat disalurkan ke tangki-tangki seperti di bilik air, garaj kereta, dan tangki utama. Kesemua ini memerlukan kos yang agak tinggi.

Seterusnya, aspek kualiti juga perlu diambil kira. Sebelum jatuh ke permukaan, air hujan akan bercampur dengan pelbagai jenis gas di udara. Keadaan menjadi buruk apabila kawasan tersebut dengan kawasan industri yang mengeluarkan gas bahaya seperti karbon monoksida.

Sebaik sahaja sampai ke permukaan, air hujan akan bercampur dengan bahan larut dan tidak larut dan ia akan mengumpulkan bahan pencemar seperti habuk, bakteria, kulat, dan najis haiwan, dan bahan organik lain, serta bahan bukan organik seperti mineral terlarut, logam, bahan kimia, atau cat larut dalam air.

Mungkin kita tidak tahu, bahawa idea untuk menggalakkan penuaian air hujan ini datang daripada ketua setiausaha kementerian sendiri iaitu Dr. Zaini Ujang, seorang pakar dalam bidang pengurusan air.

Jadi susah tentu ia bukannya idea yang konyol dan mundur.

Cuma, timbul isu di sini apabila cadangan tersebut diketengahkan kepada Kelantan, sebuah negeri yang mempunyai banyak masalah air.

Masalah air di Kelantan tidaklah secara langsung berpunca daripada perubahan iklim, kerana sumber air di Kelantan sangatlah banyak, dengan taburan hujan yang sekata sepanjang tahun, dan kawasan berhutan seluas 700,000 hektar sebagai tadahan air semulajadi. Jadi, tidak akan timbul isu kekeringan sumber air.

Namun, masalah timbul apabila kawasan berhutan ini dimusnahkan bagi aktiviti pembalakan dan perladangan hutan. Seluas 169,0000 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) telah menjadi zon bagi projek ladang hutan, yang mana kesemua pokok ditebang habis secara “cuci mangkuk”.

Ini ditambah lagi dengan pembalakan komersial di HSK seluas 200,000 hektar atau tujuh kali keluasan negeri Melaka.

Tindakan ini wajar dikritik, kerana ia bukan sahaja mengakibatkan sumber air menjadi kotor dan tercemar, bahkan ia juga menjadi penyebab kepada bencana banjir yang kita lihat sudah menjadi “aktiviti tahunan” di negeri Pantai Timur ini.

Di sini, pihak kerajaan patut sedar akan keutamaan sebenar dalam isu ini. Tindakan menggalakkan rakyat untuk menadah air hujan ibarat satu tindakan lepas tangan yang meminta rakyat bertindak sendiri bagi menangani isu bekalan air, yang secara hakikatnya berpunca daripada kesilapan pengurusan kerajaan negeri itu sendiri. 

Masalah di Kelantan bukannya kekurangan bekalan air, tetapi bekalan air yang kotor dan tercemar. 

Jika sistem tadahan air semulajadi tidak diganggu, sudah pasti tiada keperluan bagi rakyat untuk menadah air hujan bagi kegunaan harian. 

Sebagai seorang ahli Parlimen dan menteri, yang terlibat dalam penggubalan undang-undang, isu-isu sebeginilah yang perlu ditekankan. Tapi, hmm.… – 20 September, 2020.

* Nizam Rahman, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen