Jadikan kepelbagaian teras kekuatan Malaysia, kata Saifuddin


Saifuddin berkata patriotisme, yakni rasa cinta kepada negara yang berkekalan, menuntut fokus yang berbeza disebabkan keadaan yang berbeza. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 September, 2020.

RAKYAT Malaysia digesa menjadikan kekayaan budaya dalam negara sebagai satu faktor kekuatan, dan bukan melihat kepelbagaiannya sebagai satu punca kelemahan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dalam rakaman video ucapan aluannya yang dipertontonkan di majlis sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu hari ini berkata, ia seharusnya menjadi kekuatan bagi rakyat yang hidup secara aman dan bersama berkhidmat kepada negara.

“Hari Malaysia amat bermakna bagi kita. Ia adalah simbol kedaulatan, keharmonian, dan kesejahteraan sebuah negara yang kita bina bersama sebagai rakyat pelbagai etnik, bahasa, kebudayaan dan agama, majoriti atau minoriti, sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi bersama jawatankuasa penganjur sambutan berkata patriotisme, yakni rasa cinta kepada negara yang berkekalan, menuntut fokus yang berbeza disebabkan keadaan yang berbeza.

Sambutan Hari Malaysia dengan tema Malaysia Prihatin berlangsung dalam suasana negara sedang bergelut memerangi pandemik Covid-19.

“Patriot baharu telah dilahirkan, yakni petugas barisan hadapan yang setia dan sanggup berkorban, mereka yang bekerja keras dengan kerajaan yang amat prihatin dalam menjaga kesejahteraan, kesihatan dan menjana semula ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata walaupun tiada acara besar untuk memperingati ulang tahun penubuhan Malaysia pada 1963, beliau bangga melihat ramai rakyat menyambutnya dengan cara sendiri dan berkongsi di media sosial.

“Terus berkongsi saat-saat indah itu menggunakan #momennegaraku,” katanya, sambil menyampaikan penghargaan besar dan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Sarawak, pengerusi bersama, serta rakan-rakan di dalam jawatankuasa penganjur, dan juga pihak-pihak yang bekerja keras untuk menjayakan sambutan hari ini.

Menteri Utiliti Sarawak Dr Stephen Rundi Utom yang merupakan pengerusi penganjur bersama dalam petikan video yang serupa, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri untuk menganjurkan sambutan Hari Malaysia untuk kali kedua berturut-turut.

Menurutnya sambutan tahun ini akan terpahat dalam lipatan sejarah sebagai sambutan julung kalinya diadakan dalam persekitaran norma baharu.

Beliau juga menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama untuk terus bekerjasama menjadikan negara tercinta ini sebagai sebuah negara maju di masa hadapan. – Bernama, 16 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen