Hari Malaysia dan kebimbangan masa depan


SIDANG DUN Johor bagi penggal persidangan ketiga Dewan Negeri Johor ke-14 baru berakhir 13 September 2020 yang lalu.

Dalam sidang tersebut, menteri besar Johor ada menyebut beberapa angka yang amat membimbangkan kita. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyusut pada kadar 17.1% bagi suku kedua 2020. Penyusutan ini merupakan angka terendah sejak negara berhadapan Krisis Kewangan Asia 1998.

Trend pengambilan pekerja pula menyaksikan, hanya 9.1% majikan dipercayai bercadang menambah bilangan tenaga kerja mereka. Sejumlah 16.2% pula menyatakan hasrat mengambil langkah pengurangan termasuklah syarikat-syarikat besar yang sebelum ini dilihat stabil.

Keadaan di Johor juga tidak mudah. Dalam fasa pandemik Covid-19, pertumbuhan ekonomi negeri bergerak amat perlahan khususnya sektor pelancongan dan perkhidmatan. Ia memberi kesan langsung terhadap survival ekonomi rakyat Johor.

Kadar pengangguran negeri dianggarkan berjumlah lebih 173,000. Angka ini akan membengkak lagi dari tahun ke tahun.

Ahli-ahli ekonomi Singapura meramalkan 45,000 hingga 200,000 orang akan berhadapan pemberhentian kerja di Singapura apabila komuniti perniagaan mereka mengecilkan operasi.

Keadaan ini memberi isyarat kepada ribuan rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura khususnya daripada kalangan rakyat Johor berkemungkinan besar akan diberhentikan terlebih dahulu.

Untuk rekod, sekitar 400,000 warga kita berada di Singapura untuk berkerja di sana. Dari jumlah tersebut, sekitar 300,000 berulang alik secara harian Johor Bahru – Singapura.

Penampan masa sukar

Kerajaan pusat telah menyalurkan bantuan kepada rakyat contohnya moratorium, bantuan one-off Covid-19 dan perdana menteri umumkan bantuan JKM akan dinaikkan ke RM1,000 bagi penerima yang layak. Bahkan inisiatif Johor juga telah dizahir dan dilaksana menerusi pakej bantuan kewangan untuk rakyat menerusi inisiatif Ihsan Johor.

Namun ia bukan penyelesaian jangka panjang. Ekonomi rakyat khususnya aspek pekerjaan masih belum “secured”. Kerajaan tidak boleh elak membincangkan penyelesaian terhadap masalah ini apatah lagi bila WHO sendiri menyatakan pandemik ini tidak mungkin pulih sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun.

Demi survival, kerajaan perlu runding dengan Singapura

Sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun yang mendatang, kerajaan perlu mengambil langkah lebih berani demi survival ekonomi rakyat.

Sebagai contoh, bagi rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura, perbincangan secara bilateral antara Malaysia-Singapura boleh membuat pertimbangan terhadap penggunaan wang CPF warga Malaysia yang berkerja disana untuk dikeluarkan mengikut kadar yang bersesuaian. Misalnya untuk tempoh satu tahun kehadapan, tahun 2021.

Dengan ini, kemampuan ekonomi rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura sekurang-kurangnya dapat bertahan untuk tahun 2021 saat berhadapan pandemik Covid-19 ini.

Laksana cukai berfokus, galak GLC bantu rakyat

Kerajaan negeri boleh menilai semula pengenalan cukai-cukai di bawah kuasanya seperti cukai tanah dan cukai pintu agar hasilnya dapat dimanfaatkan secara lebih berfokus, cermat dan amanah. Ini penting bagi memberikan kelegaan kepada rakyat Johor apabila berhadapan situasi ekonomi yang sukar ini.

Selain itu juga, syarikat-syarikat besar berkaitan kerajaan negeri contohnya JohorCorp, boleh meletakkan fokus dan keutamaan mereka kearah membantu rakyat dengan lebih meluas lagi.

Barangkali, tak banyak yang dapat difikirkan. Namun pakej-pakej latihan untuk para graduan mahupun anak muda dengan kemahiran bersesuaian boleh diperluaskan bagi memberikan peluang lebih besar kepada mereka untuk memanfaatkan masa sekurang-kurangnya setahun kehadapan dengan menimba pengalaman dan ilmu pengetahuan sebelum kita mengharapkan keadaan menjadi normal semula.

Bantu rakyat cari kerja

Pada masa yang sama, lebih banyak pusat sehenti boleh diwujudkan oleh kerajaan negeri dan agensi yang bersesuaian misalnya Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) ataupun Unit Strategik Modal Insan (SMI) untuk membantu gerak kerja suai-padan bagi golongan rakyat yang kehilangan kerja.

Pusat sehenti ini boleh berfungsi untuk sekurang-kurangnya tiga perkara. Pertama, mengalu-alukan kehadiran rakyat Johor sebagai klien mereka, dan menawarkan khidmat kaunseling atau motivasi bagi mereka yang kehilangan kerja.

Hal ini penting kerana rakyat sedang berhadapan normal baharu dan keadaan ekonomi rakyat sendiri cukup menekan untuk bertahan dan menempuh hari-hari mendatang.

Kedua, pusat sehenti ini boleh bertindak menjadi pusat pengkalan data untuk mendapatkan input serta mengenalpasti kebolehan yang dimiliki oleh klien yang kehilangan kerja dan juga mengumpulkan agensi-agensi, syarikat-syarikat mahupun entiti perniagaan yang boleh memenuhi kebolehan klien tersebut.

Ketiga, memadankan klien dengan agensi-agensi, syarikat-syarikat mahupun entiti perniagaan agar boleh diambil berkerja bersesuaian dengan keperluan semasa. Hal ini memandangkan, terdapat ramai rakyat yang telah atau bakal berhadapan situasi kehilangan pekerjaan diluar sana yang memerlukan khidmat bantuan untuk mengenalpasti kekosongan kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran yang mereka miliki. Tinggal lagi, mungkin informasi terkini sahaja yang kurang mereka miliki. Kerajaan boleh mainkan peranan ini menerusi pusat sehenti tersebut.

Saya percaya, meskipun banyak sektor terkesan akibat pandemik Covid-19, namun di sana masih wujud peluang-peluang pekerjaan yang mampu “survive”. Sebagai contoh, pada masa kerajaan menguatkuasakan larangan untuk sebarang aktiviti perlancongan ke luar negara, aktiviti pelancongan dalam negara mempunyai kelebihan dan boleh dikembangkan lagi. Justeru, peluang pekerjaan bagi “travel tours” atau apa sahaja perkhidmatan yang terkait dengannya ada potensi untuk menjadi lubuk rezeki rakyat.

Kita perlu terus bertahan

Hari ini merupakan sambutan ulang tahun Hari Malaysia 2020. Kita menyambut hari penuh makna ini dalam cengkaman ekonomi yang menekan akibat pandemik Covid-19. Bukan sahaja Malaysia, bahkan dunia sedang berhadapan situasi ini.

Dalam apa cara sekalipun, rakyat dan negara kita harus bertahan. Meskipun pandemik Covid-19 memberikan impak yang tidak kepalang kepada Malaysia dan komuniti global, sekurang-kurangnya ekonomi domestik kita harus terus bergerak demi survival rakyat dan negara. – 16 September, 2020.

*Sheikh Umar Bagharib Bin Ali adalah Adun Paloh merangkap ketua Pemuda dan setiausaha publisiti DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen