Harga tiket berpatutan rancakkan pelancongan domestik, kata menteri


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bekerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan dalam usaha merancakkan kembali industri pelancongan domestik di negara ini yang terjejas ekoran pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2020.

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat penerbangan tempatan bagi menawarkan harga tiket penerbangan yang berpatutan ke seluruh negara.

Menterinya Nancy Shukri berkata kerjasama dengan Malaysia Airlines, AirAsia, FireFly, MASWings serta Malindo adalah antara usaha yang dilakukan oleh kementerian dalam usaha merancakkan kembali industri pelancongan domestik di negara ini yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

“Ada yang digabungkan dengan pakej percutian, bukan sahaja untuk destinasi di Sarawak dan Sabah, malah kerjasama ini turut membabitkan destinasi di negeri-negeri lain di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Nancy berkata dalam usaha untuk membantu memulihkan kembali industri pelancongan negara, beliau bersama pasukan Motac juga sedang melakukan siri lawatan ‘Jelajah Semarakkan Pelancongan Domestik’  yang bermula pada 13 Jun lepas.

Setakat ini katanya, Motac telah ke Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak, Kuala Lumpur, Perlis serta Kedah dan enam lagi siri lawatan itu akan diadakan sehingga akhir tahun ini dalam usaha untuk mempromosikan destinasi dan produk pelancongan di seluruh negara.

“Di samping itu, siri jelajah ini juga digunakan untuk memberi pendedahan dan memastikan penggiat-penggiat industri mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pematuhan dan amalan norma baharu ini boleh memainkan peranan utama dalam membina keyakinan masyarakat bahawa Malaysia adalah destinasi yang selamat untuk dikunjungi,” katanya.

Beliau berkata pada masa yang sama, peranan untuk memulihkan industri pelancongan, seni dan budaya tidak dilakukan sendirian oleh kementerian itu, tetapi turut dibantu oleh kerajaan negeri.

Antara kerjasama yang telah dilakukan ialah antara Tourism Malaysia dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam mempromosikan Sarawak melalui kempen Cuti-Cuti Sarawak, menganjurkan program webinar pelancongan domestik serta kempen Pelancongan Domestik Cuti-Cuti Malaysia. – Bernama, 15 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen