Politik tua dalam politik anak muda


RAMAI pihak memberikan perhatian kepada pembentukan sebuah parti anak muda sejak berita mengenainya tersebar. Orang ramai mula berspekulasi; ada yang berharap, dan ada yang skeptik.

Perhatian khalayak telah dipancing dengan siri mesyuarat anak muda.

Pada satu ketika Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergambar bersama para teknokrat muda, dan pada masa yang lain muncul foto antara Liga Rakyat Demokratik dan Challenger Malaysia.

Situasi ini memungkinkan sesuatu sedang dirancang di belakang tabir.

Tangan-tangan sedang bergerak mengatur satu pergerakan yang menjurus kepada penubuhan satu Parti Anak Muda.

Beberapa ‘headlines’ menangkap perhatian khalayak dengan beberapa ikon anak muda diangkat bersama-sama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Menjelang 31 Ogos 2020, bocornya senarai 30 nama individu di laman media sosial. Antara peneraju sudah tentunya Syed Saddiq dan beberapa nama yang dikaitkan sebagai “Team Saddiq” dan nama-nama besar seperti bekas CEO Permodalan Nasional Berhad Jalil Rasheed, CEO The Lorry.com Nadhir Ashafiq, dan CEO Perbadanan Kota Buku Muthalib Uthman.

Khalayak mula mempersoalkan, di mana komposisi anak muda dan mahasiswa yang mengakar di seluruh pelusuk negara dalam percaturan ini?

Soalan yang lebih kritikal juga: siapa tangan-tangan yang bergerak mengatur pemilihan ini?

Tanpa satu dialog terbuka atau kongres yang dapat disertai oleh majoriti anak muda dan mahasiswa di seluruh negara, pembentukan 30 individu ini kelihatan canggung seumpama berada dalam gelembung Bangsar.

Melihatkan naratif anak muda cuba dicemari dan dimiliki oleh pemain pemain politik dan dikawal (gatekeeping) oleh pemain-pemain politik yang sama, satu gelombang protes telah wujud.

Tuntutannya mudah – jika benar demi anak muda, jangan khianati kepercayaan anak muda.

Umum bersetuju, pelantikan dan pemilihan 30 individu dalam satu jawatankuasa ini adalah satu kesilapan yang membawa kepada kesipuan naratif anak muda itu sendiri.

Yang perlu dilakukan adalah mengakui kesilapan, menerima kritikan, membuat pembetulan, memperkenal pembaharuan dan seterusnya maju ke hadapan.

Walaupun setelah dikritik di laman maya, pemain-pemain politik ini terus ego dengan semangat jalan terus dan menonong sambil matanya terpejam.

Satu pertemuan dirancang agar pembinaan sebuah gerakan menuju kepada pembinaan parti anak muda dapat menarik lebih ramai khalayak untuk sama-sama menyokong.

Politik anak muda itu bukan terhad untuk jadi ahli parti. Buktinya pada malam itu, pertemuan itu dianjurkan oleh pihak-pihak yang inginkan ketelusan dalam pembentukan parti anak muda, lantas mengeluarkan duit poket sendiri untuk membayar sewa dewan yang menjadi lokasi pertemuan.

Pertemuan yang tidak dihebahkan ini akhirnya mengumpulkan lebih  50 orang anak muda dan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang.

Ini bukan sebahagian rencana jawatankuasa parti, tapi ini adalah usaha anak muda dan mahasiswa yang mahukan jawapan.

Walau bagaimanapun, pertemuan pada Selasa malam di Restoran Amjal lebih banyak menimbulkan persoalan daripada menemukan jawapan. Angin dari pendingin hawa tidak lagi menderu rasa dinginnya.

Soalan-soalan yang terbuku kini dapat diajukan kepada wakil-wakil parti anak muda yang hadir.

Siapakah pemegang taruh? Apakah ideologinya? Apakah polisinya?

Siapakah yang memilih mereka dalam kalangan 30 orang ini?

Apakah yang telah dibincangkan?

Apa objektif pertemuan 30 individu ketika 31 Ogos 2020? Mengapa mahasiswa dan anak muda yang lain diketepikan?

Daripada timbal balik soalan dan jawapan dapat disimpulkan bahawa tiada apa yang telah dimuktamadkan lagi. Semuanya masih dalam perbincangan.

Anak muda dijemput untuk sertai dan sama-sama membawa ke arah masa hadapan anak muda yang lebih maju.

Jika jawapan yang dicari masih belum ditemui, kenapa kerusi-kerusi di meja rundingan telah dipenuhi?

Kredit harus diberikan kepada wakil bagi pihak parti yang akan ditubuhkan ini untuk berhadapan dan berkongsi aspirasi mereka terhadap parti ini.

Pun begitu, adalah tidak adil untuk meletakkan bebanan di bahu 4 orang wakil yang hadir pada malam itu dan 26 yang lain tidak perlu memegang standard akauntibiliti yang sama.

Dalam penubuhan sesuatu yang amat baru, adalah malang jika tangan-tangan pemain politikus dibiarkan bermaharajalela membuat keputusan.

Ini politik orang tua. Politik merebut kuasa. Politik memasang pegawai khas di setiap penjuru untuk menjaga kepentingan pemain-pemain politik.

Ini semua taktik lama. Dibungkus di dalam naratif baru, dijenamakan sebagai politik anak muda.

Anak muda itu sendiri definisi yang belum konklusif. Tapi sebaik-baik anak muda adalah anak muda dan mahasiswa yang hadir pada malam itu memegang teguh prinsip ketelusan, akauntibiliti dan ini terbukti apabila standard yang sama digunapakai terhadap kawan dan lawan tanpa gentar.

Pada akhirnya kritikan pada malam itu telah disampaikan, yang perlu dilakukan adalah mengakui kesilapan, menerima kritikan, membuat pembetulan, memperkenal pembaharuan dan seterusnya maju ke depan.

Jika gagal, teruskanlah hidup kemabukan gelembung Bangsar kalian.– 15 September, 2020.

 

* Daniel Mizan Qayyum,  pengasas Demokrat dan graduan undang-undang Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen