Tangani kemiskinan dengan menyeluruh


KEMISKINAN merupakan satu isu yang mendapat perhatian dalam kalangan pemimpin dan penggubal dasar di seluruh dunia. 

Isu ini juga mendapat tempat dalam kalangan anggota masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Di peringkat antarabangsa, isu kemiskinan merupakan salah satu daripada matlamat yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam Sustainable Development Goals (SDG). 

Matlamat pertama SDG ialah untuk menghapuskan kemiskinan dalam segala bentuk di semua tempat.

Selain matlamat ini, PBB juga mensasarkan 16 matlamat lain untuk dicapai menjelang tahun 2030.

Ia satu cita-cita yang sangat besar dan sewajarnya diberi keutamaan oleh pemimpin-pemimpin di seluruh dunia.

Isu kemiskinan bukanlah isu yang baru wujud pada dunia moden hari ini.

Malahan, semenjak awal ketamadunan manusia, telah wujud pelbagai golongan dalam masyarakat yang terdiri daripada golongan miskin, golongan kaya dan golongan yang berada pada tahap di antara kedua-dua golongan tersebut.

Sudah tentu, apa yang dimaksudkan kemiskinan ratusan tahun dahulu tidak sama dengan takrif kemiskinan pada hari ini, mengambil kira tahap pembangunan yang telah dicapai oleh manusia dan faktor-faktor lain.

Dalam dunia hari ini, kemiskinan bukan sahaja dilihat dari sudut kekurangan sumber pendapatan, malahan juga merangkumi aspek-aspek lain yang membantut seseorang manusia untuk mencapai taraf hidup yang baik.

Dalam pendekatan kemiskinan pelbagai dimensi (multidimensional poverty) yang kini menjadi ukuran kemiskinan pelbagai negara termasuk Malaysia, kemiskinan dilihat dari sudut taraf hidup, kesihatan dan pendidikan.

Tidak dinafikan walaupun zaman telah banyak berubah, matlamat akhir dasar pembangunan tetap sama iaitu untuk memberi kesejahteraan dan kebahagiaan kepada manusia. 

Bagaimanapun, terdapat perbezaan dengan apa yang dimaksudkan dan cara untuk mencapai ‘kesejahteraan’ dan ‘kebahagiaan’ tersebut.

Perbezaan ini berlaku kerana perbezaan dari sudut kepercayaan agama, ideologi dan fahaman masing-masing. Pada masa yang sama, wujud juga persamaan-persamaan dalam kepelbagaian kepercayaan tersebut. 

Sebagai contoh, jika tamadun Barat melihat kemiskinan dari sudut kekurangan harta, Islam juga melihat kemiskinan dari sudut tersebut.

Dalam kumpulan asnaf yang layak menerima zakat, ada dua kumpulan yang termasuk dalam kategori harta yang kurang, iaitu golongan fakir dan miskin.

Perbezaan dan persamaan ini sudah tentu relevan dan perlu diambil kira oleh pemimpin dan penggubal dasar di negara yang dianggotai masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Di Malaysia, terdapat 405,441 isi rumah miskin pada tahun 2019 berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.

Perangkaan ini adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) terkini iaitu sebanyak RM2,208 sebulan untuk satu isi rumah.

Pada masa yang sama, untuk umat Islam, terdapat data golongan asnaf yang layak menerima zakat berdasarkan ukuran had kifayah yang dikumpulkan oleh pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.

Kadar had kifayah pula mungkin berbeza di antara satu negeri dengan satu negeri yang lain, mengambil kira perbezaan kos sara hidup yang berbeza di antara negeri-negeri di negara ini.

Ini belum lagi dilihat dari sudut ukuran kemiskinan pelbagai dimensi, yang turut mengambil kira sudut-sudut taraf hidup, kesihatan dan pendidikan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk penggubal dasar di negara ini untuk melihat isu kemiskinan dengan lebih tersusun dan menyeluruh, mengambil kira aspek-aspek yang disebut di atas dan juga isu-isu terkini.

Sebagai contoh ialah isu berkaitan dengan kanak-kanak miskin bandar yang terbantut tumbesaran.

Tujuannya ialah supaya penyelarasan dapat dilakukan di antara pelbagai agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri yang terlibat dalam menangani isu kemiskinan.

Tidak kurang penting ialah untuk memastikan inisiatiaf-inisiatif basmi kemiskinan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di semua peringkat. 

Antara isu-isu yang wujud ialah berkaitan peruntukan undang-undang, punca kuasa dan juga isu berkaitan dengan data itu sendiri.

Apapun, langkah awal yang boleh diambil ialah untuk mewujudkan satu majlis atau badan penyelaras yang membincangkan isu-isu berkaitan, bermula dengan agensi-agensi kerajaan di peringkat pusat yang terlibat dalam merangka dasar-dasar yang melibatkan isu kemiskinan.

Sebagai contoh, Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di Jabatan Perdana Menteri. Melalui majlis atau badan penyelaras ini, mudah-mudahan satu pelan atau rancangan yang bersepadu dapat dibangunkan.

Selain itu, pihak daripada sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu dilibatkan. Ini supaya semua pihak dapat berperanan dan memberi sumbangan dalam menangani isu kemiskinan khasnya dan pembangunan negara amnya. – 15 September, 2020.

* Mohammad Abdul Hamid adalah Advokasi Kemakmuran Ekonomi Pertubuhan Ikram Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen