Wanita Slovenia dipenjara potong tangan sendiri tuntut insurans


Pendapatan bersih bulanan secara purata di Slovenia adalah sekitar 1,000 euro. – Gambar EPA, 12 September, 2020.

MAHKAMAH Slovenia telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada seorang wanita berusia 22 tahun setelah mendapati dia bersalah kerana memotong tangannya bagi mendapatkan tuntutan insurans.

Pasangan wanita berusia 30 tahun itu pula dituduh telah memaksanya memotong tangan, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Daerah Ljubljana pada hari Jumaat, lapor agensi berita negara itu, STA.

Tidak jelas sama ada pasangan itu, yang mengaku tidak bersalah, akan melakukan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Wanita itu, Julija Adlesic, ditahan pada awal tahun lalu kerana didakwa memotong tangannya dengan gergaji bagi mendapatkan pampasan insurans sebanyak hampir 400,000 euro (AS$470,000).

Wanita itu dipercayai merancang perbuata itu bersama dengan tiga yang lain pada awal tahun ini sejurus kumpulan itu menandatangani kontrak insurans nyawa dan kecederaan dengan lima syarikat insurans yang berbeza.

Wanita itu berharap mendapat pampasan sekitar 380,000 euro dan pembayaran bulanan seumur hidup sekitar 3,000 euro, kata polis.

Mereka juga sengaja meninggalkan bahagian tangan yang dipotong dan tidak membawanya ke hospital dengan harapan mendapat pampasan tiga kali ganda lebih tinggi bagi kecacatan kekal setelah apa yang dia dakwa sebagai kemalangan, kata polis.

Bagaimanapun pihak berkuasa berjaya mendapatkan semula bahagian tangan itu  dan doktor di sebuah hospital Ljubljana berjaya mencantumnya semula.

Pendapatan bersih bulanan secara purata di Slovenia adalah sekitar 1,000 euro . –  AFP, 12 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen