Jangan pandang rendah TVET dan STEM


DALAM perjalanan menuju ke era pendigitalan pasca Covid-19, terdapat keperluan yang mendesak untuk meningkatkan kemahiran bakat tempatan bagi mengurangkan risiko mereka digantikan oleh automasi. 

Salah satu caranya ialah dengan menyediakan pendidikan yang sesuai untuk mereka.

Menurut McKinsey & Company, kira-kira 50 peratus daripada waktu kerja di Malaysia digunakan untuk aktiviti yang mudah untuk diautomasikan seperti pegawai yang mengendalikan gaji pekerja, pekerja yang menguruskan hal berkaitan undang-undang, mereka yang terlibat dalam proses pengeluaran dan pengendali mesin.

Syarikat tersebut juga menganggarkan bahawa automasi boleh menggantikan sebanyak 25% waktu kerja pada tahun 2030. 

Ini bersamaan dengan 4.5 juta pekerja di Malaysia.

Namun, McKinsey menyatakan bahawa automasi boleh membantu mewujudkan peluang pekerjaan baru tetapi permintaan buruh perlu dilengkapi dengan kemahiran yang tinggi. 

Oleh itu, kemahiran tenaga kerja perlu ditingkatkan supaya mereka boleh berada di peringkat yang tinggi dalam rantaian nilai.

Persoalannya, bagaimanakah tahap kemahiran tenaga kerja di Malaysia? 

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, terdapat 1,862,500 orang pekerja yang berkemahiran rendah (12.4%), 9,059,000 orang pekerja berkemahiran separa (60.1%) dan 4,151,900 pekerja mahir (27.5%).

Jadi, jumlah pekerja yang berkemahiran rendah ke separa menyumbang sebanyak 72.5%, lebih tinggi daripada bilangan pekerja mahir.

Dari segi tahap pendidikan, pekerja yang berpendidikan menengah merupakan penyumbang terbesar dalam tenaga kerja (55.6%), diikuti oleh pekerja yang berpendidikan tertiari (29.4%), mereka yang berpendidikan rendah (12.1%) dan mereka yang tidak mempunyai pendidikan rasmi (2.9%).

Satu lagi petunjuk untuk mengukur tahap pendidikan di Malaysia adalah berdasarkan Laporan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) untuk para pelajar berumur 15 tahun dikeluarkan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Bagi subjek Matematik dan Sains, skor PISA untuk pelajar Malaysia berada di bawah purata skor negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) – 440 untuk Matematik manakala 438 untuk Sains.

Bilangan pelajar yang memilih subjek STEM juga menurun kepada 44% pada tahun 2018 berbanding dengan 48 peratus pada tahun 2012.

Bakat mahir digital merupakan salah satu komponen utama untuk memacu peralihan syarikat kepada pendigitalan, menurut PKS. Namun, proses ini tersekat disebabkan oleh jurang dalam kemahiran digital di kalangan pekerja.

Jadi, untuk merealisasikan impian transformasi digital di Malaysia, apa yang boleh dilakukan untuk menangani jurang kemahiran dan pendidikan ini?

Perkara yang paling penting dan patut diutamakan adalah pendidikan yang disampaikan kepada para pelajar di sekolah atau universiti bagi memudahkan mereka untuk menyesuaikan diri semasa alam pekerjaan.

Pendaftaran untuk program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh kementerian dan agensi yang terlibat harus digalakkan secara aktif dan dibawakan kepada pendidikan arus perdana di kalangan pelajar lepasan sekolah menengah kerana kursus-kursus yang ditawarkan berkaitan dengan teknologi. 

Bagi menggalakkan penyertaan pelajar untuk TVET, persepsi negatif terhadap program ini perlu diubah daripada dijadikan pilihan kedua kepada pilihan yang utama bagi melahirkan tenaga mahir untuk negara.

Satu cara yang baik untuk mengukur sama ada usaha untuk mengubah corak pemikiran ini membuahkan hasil adalah apabila majikan menaikkan gaji graduan TVET kerana prestasinya yang baik. Ini dapat membantu meningkatkan gaji permulaan untuk graduan TVET pada masa akan datang.

Selain TVET, cara pendekatan yang sama perlu dilakukan untuk pembelajaran STEM bagi menangani isu kurang minat dalam kalangan pelajar, sejajar dengan objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Secara konklusinya, langkah-langkah yang berteraskan pendidikan harus menjadi pemacu utama dalam melahirkan bakat yang berkemahiran tinggi dan salah satu cara untuk mencapai wawasan Malaysia 5.0 dan untuk mencapai salah satu sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV2030) iaitu 35% pekerja mahir. – 12 September, 2020.

*Sofea Azahar, penganalisis penyelidik di EMIR Research.*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen