PRN Sabah bentuk hala tuju politik Malaysia


PILIHAN raya negeri (PRN) Sabah bukan sahaja akan memberi kesan kepada pengundi Sabah, bahkan ia juga memberi impak di peringkat kebangsaan.

PRN ini dipanggil pada 30 Julai selepas cubaan oleh mereka yang mewakili kerajaan Muhyiddin Yassin dan juga pihak bekas ketua menteri Musa Aman untuk menjatuhkan kerajaan campuran pimpinan Mohd Shafie Apdal.

Shafie  tidak menyertai pasukan Muhyiddin semasa Langkah Sheraton pada Februari. Malah, beliau terus berjuang bersama-sama dengan rakan yang menentang kerajaan Muhyiddin.

Pembubaran pada 30 Julai tersebut telah menunjukkan kepimpinan tegas Shafie. Ia juga menyuntik semangat positif kepada penyokong Pakatan Harapan (PH) Plus. 

Ahli politik “katak” yang ingin melompat tidak mendapat habuan yang dijanjikan. Lebih daripada itu, mereka mungkin kehilangan kerusi mereka. Ada juga yang tidak diletak sebagai calon dan ada yang tidak akan menang.

Sekarang, kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan dalam PRN pada 26 September.

Kalau kita dapat menang besar pada 26 September, Muhyiddin akan berfikir dua kali sebelum memanggil pilihan raya umum secara mengejut.

Pada 2008, pihak pembangkang menang 80 kerusi antara 165 kerusi di Semenanjung. Pada 2013, Pakatan Rakyat menang 80 kerusi di Semenanjung. Pada 2018, PH menang 98 kerusi di Semenanjung.

Pada dasarnya, PH Plus berkemampuan memenangi sekitar 80 kerusi di semenanjung. Dalam keadaan yang paling teruk ataupun “worst case scenario”, saya yakin pihak PH Plus masih boleh kekal di 80 kerusi di Semenanjung.

Pada 2018, Warisan, DAP and PKR menang 14 kerusi Parlimen di Sabah dan 10 kerusi Parlimen di Sarawak

Kalau parti Warisan, DAP dan rakan2 dapat memenangi kerusi dewan negeri yang banyak pada 26 September ini, maknanya kalau pilihan raya umum dipanggil, Sabah boleh menyumbang sebanyak 20 kerusi kepada PH Plus.

Kalau 80 + 20, sudah jadi 100. Ini belum kira lagi kerusi yang PH Plus boleh dapat daripada Sarawak lagi.

Akhirnya, kalau Parlimen dibubar dan keputusan pilihan raya umum adalah parlimen tergantung (“hung Parliament”) di mana kedua-dua belah pihak akan ada lebih kurang 111, yang rugi adalah Muhyiddin.

Secara logiknya, adalah tidak berbaloi bagi Muhyiddin untuk memanggil pilihan raya dan menang 111 kerusi sahaja.

Hanya kalau gabungan politik beliau yakin untuk menang 135 kerusi baru lah berbaloi untuk beliau memanggil pilihan raya mengejut. 

Kalau tidak, pilihan raya umum mengejut mungkin hanya akan menguntungkan Umno. Muhyiddin dan Bersatu pula akan ditelan hidup-hidup oleh Umno. 

Jelas sekali, mesej PRN Sabah kali ini adalah supaya seluruh rakyat Malaysia untuk memberi pengajaran kepada ahli politik khianat dan mereka yang mengkhianati perjuangan rakyat.

Ternyata, perkembangan politik Sabah akan membentuk hala tuju politik negara. Kebangkitan rakyat Sabah pada 26 September akan memberi kesan besar kepada politik kebangsaan. – 12 September, 2020.

* Liew Chin Tong, pengarah pendidikan politik DAP.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen