182 kes baharu Covid-19 hari ini


Ragananthini Vethasalam

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan terhadap pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Kota Kinabalu, Sabah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2020.

JUMLAH kes baharu Covid-19 melonjak kepada tiga digit dengan 182 jangkitan dilaporkan dalam tempoh 24 jam, berikutan peningkatan kes dalam kluster Benteng di Sabah (167) dan kluster Sungai serta Telaga di Kedah (14), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini 9,810 manakala kes aktif 501.

181 daripada jumlah kes baharu itu merupakan penularan tempatan yang mana 90 melibatkan warganegara dan bakinya 91 kes lagi membabitkan warga asing.

Hanya satu daripada 182 kes adalah kes import.

Daripada 167 kluster Benteng di Lahad Datu, Sabah, 70 adalah banduan dan enam orang awam. Kesemua mereka adalah warga Malaysia.

Manakala 91 lagi membabitkan warga asing yang mana 61 adalah warga Filipina dan 30 warga Indonesia.

Setakat ini, 2,837 orang dalam kluster Benteng yang melibatkan lokap polis telah menjalani ujian saringan. Terdapat 337 kes positif dalam kluster ini.

Sementara itu daripada 14 kes baharu di Kedah, 11 kes baharu adalah dari kluster Sungai dan tiga dari kluster Telaga.

Kedua-dua kluster melibatkan kemudahan kesihatan dan petugas barisan hadapan yang mana menurut Dr Noor Hisham tiada penularan daripada wad Covid-19 atau pesakit.

Sementara itu, 14 pesakit didiscaj daripada hospital dalam tempoh 24 jam lalu selepas pulih daripada wabak itu.

Ia menjadikan jumlah kes pulih 9,181.

Manakala jumlah kematian kekal pada 128 dan tiada kes kematian baharu dilaporkan.

Sembilan pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dan lima daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.– 11 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen