Lebih 2,500 orang dari kluster Benteng LD jalani ujian Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 34 daripada 40 kes yang dilaporkan hari ini adalah banduan sementara enam merupakan ahli keluarga kakitangan penjara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan sudah menyaring 2,679 orang yang berkaitan dengan kluster Benteng Lahad Datu (Benteng LD) yang menyumbang sejumlah besar jangkitan baharu yang dilaporkan hari ini iaitu sebanyak 40 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 34 daripada 40 kes yang dilaporkan hari ini adalah banduan sementara enam merupakan ahli keluarga kakitangan penjara.

Ini menjadikan jumlah kes kumulatif dalam kluster yang merebak ke Balai Polis Daerah Lahad Datu dan Penjara Tawau menjadi 83 kes.

Awal hari ini Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa perintah kawalan pergerakan pentadbiran (PKPP) dikuatkuasakan di kawasan Penjara  Tawau dan kuarters penjara sehingga 25 September.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP) penjara, Noor Hisham berkata banduan baharu perlu dipisahkan daripada banduan lama.

“Jika boleh, banduan baharu perlu ditempatkan secara berasingan dari yang lama. Kita juga perlu melakukan ujian RT-PCR terhadap mereka.

“Walaupun ujiannya negatif, kita tidak boleh menempatkan banduan baharu dan lama kerana tempoh inkubasi adalah selama 14 hari.

“Kita hanya dapat meletakkan mereka bersama selepas 14 hari,” katanya.

Beliau berkata perkara yang sama turut berlaku untuk Pusat Tahanan Imigresen.

Noor Hisham menegaskan bahawa penting untuk memastikan bahawa banduan lama tidak terdedah atau mempunyai kontak dengan banduan baharu sehingga tempoh inkubasi 14 hari berakhir.

Dua pendatang asing tanpa izin yang ditahan di Balai Polis Lahd Datu dan kemudian ditempatkan di Penjara Tawau merupakan kes indeks kluster ini.

Kedua-duanya tidak simptomatik dan kemudian diuji positif untuk Covid-19. – 10 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen