Pakatan sokong gesaan sekat kuasa PM dalam lantikan hakim


Asila Jalil

Pada Julai, perkhidmatan Ketua Hakim Negara Rais Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkifli Ahmad Makinuddin dilanjutkan dengan melantik mereka sebagai hakim tambahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2017.

KUASA perdana menteri untuk mempengaruhi pelantikan dan kenaikan pangkat hakim terlalu kuat dan perlu dibendung bagi melindungi kebebasan badan kehakiman, kata Pakatan Harapan (PH), dengan DAP bersetuju perkara itu perlu dimasukkan dalam manifesto pilihan raya parti.

Ahli Parlimen PKR, N. Surendran berkata perdana menteri ada kuasa untuk melantik hakim kerana Yang di-Pertuan Agong diminta bertindak atas nasihat perdana menteri di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Artikel 122B memberikan kuasa melantik hakim kepada perdana menteri. Ini kerana menerusi Artikel 40(1), Yang di-pertuan Agong terikat dengan nasihat perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata kebebasan badan kehakiman hanya boleh dipastikan dengan menyingkirkan peranan perdana menteri dalam pelantikan dan kenaikan pangkat hakim.

“Kalau tidak, eksekutif mempunyai pengaruh dan kuasa yang terlalu besar terhadap badan kehakiman,” katanya, menambah cadangan itu selaras dengan komitmen PKR untuk memastikan kebebasan institusi utama.

Baru-baru ini, langkah itu digesa oleh kumpulan tokoh bekas penjawat awam, G25 yang mempertikaikan undang-undang pada masa ini yang tidak memerlukan perdana menteri memberikan sebab jika beliau menolak hakim yang dicalonkan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo berkata beliau akan mendesak supaya cadangan itu dimasukkan dalam manifesto pilihan raya parti dan perbincangan akan diadakan berhubung perkara berkenaan.

“Saya akan sokong langkah untuk menghalang perdana menteri mempunyai peranan dalam pelantikan atau kenaikan pangkat hakim.

“Kita patut (memasukkannya dalam manifesto). Saya akan mengesyorkan supaya ia dimasukkan. Perbincangan pada masa ini sedang diadakan tentang pelbagai topik termasuk perkara ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata cadangan itu akan memastikan yang hakim “benar-benar bebas dan tidak dipengaruhi sesiapa”.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada Bersatu akan memasukkan isu itu dalam manifesto mereka atau tidak.

“Satu mekanisme yang sempurna boleh dilakukan bagi memastikan cadangan itu dapat dicapai.

“Untuk manifesto, sila tunggu pengumuman muktamad kerana PH, walaupun sudah merangka manifesto, ia masih melakukan beberapa perkara dengan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa berkata parti itu selama ini mendesak kebebasan untuk badan kehakiman.

“Hakim sepatutnya bebas. Eksekutif tidak sepatutnya campur tangan. Saya sokong apa juga yang dapat membantu badan kehakiman untuk jadi lebih bebas,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Kebimbangan tentang kuasa perdana menteri dalam pelantikan badan kehakiman timbul lagi tahun ini apabila kerajaan pada Julai mengumumkan lanjutan perkhidmatan Ketua Hakim Negara Rais Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkifli Ahmad Makinuddin dengan melantik mereka sebagai hakim tambahan ketika hampir tiba pada usia persaraan.

G25 menyifatkan peruntukan perlembagaan semasa yang menjadikan perdana menteri individu yang boleh memutuskan tentang pelantikan atau kenaikan pangkat hakim, sebagai “tidak memuaskan hati”.

“Dicadangkan supaya perdana menteri tidak memainkan peranan langsung dalam pelantikan hakim.

“Sebaliknya, suruhanjaya perlu syorkan nama kepada Majlis Raja-Raja, dan kemudian kepada Agong,” katanya dalam satu laporan.

Artikel 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pelantikan ketua hakim, presiden Mahkamah Rayuan, ketua hakim Mahkamah Tinggi, dan hakim lain untuk Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, bertindak atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun, mengubah peruntukan perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga daripada 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Barisan Nasional, gabungan pemerintah mempunyai 132 wakil rakyat, PH (88) dan dua bebas. – 12 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Jika pihak Bersatu benar-benar mahu sekat kuasa PM dalam lantikan hakim, ia sepatutnya dilakukan semasa zaman Mahathir masih lagi menjadi PM. Kenapa mahu lakukan setelah Mahathir sudah menjadi pembangkang? Adakah permintaan ini hanya mahu mengaburi mata rakyat untuk meraih sokongan rakyat kepada pakatan.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Liyana Jamal · Ulasan