Parti anak muda perlu perancangan rapi, tidak boleh semberono


SEJAK minggu lepas, sebuah gerakan yang katanya ingin “mewakili” anak muda dalam politik negara yang semakin tenat telah menjadi perbincangan hangat. Kumpulan ini dikepalai oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, seseorang yang saya tidak perlu perkenalkan lagi. 

Dia dan sekutunya telah mengadakan perjumpaan pertama, dan foto dari perjumpaan itu telah tersebar luas. 

Saya mengambil masa beberapa hari untuk meneliti komentar warganet, beberapa platform media sosial politik terkenal, dan kritikan beberapa rakan sebelum menulis pandangan ini. Saya percaya, secara prinsipnya – kita memang mahu lebih ramai anak muda terlibat dengan politik, mahu mereka lebih diberi ruang dalam politik, dan tak mahu anak muda terlalu dikongkong oleh aktor-aktor tua politik. 

Kritikan saya bukan bermaksud saya menentang idea ini secara habis-habisan, saya menulis dengan tanggapan anak-anak muda dalam lingkungan Saddiq ini boleh dibawa berbincang. 

Setelah koalisi Pakatan Harapan jatuh, Saddiq bukanlah orang pertama yang cuba membawa jenama anak muda untuk berpartisipasi dalam arena politik negara. Pasukan yang terkenal dalam menyokong Azmin Ali telah menubuhkan sesuatu yang digelar Pemuda Negara. 

Saya bukanlah orang yang tepat untuk mengukur keberjayaan gerakan Pemuda Negara ini, namun dari pemerhatian kasar yang saya lakukan – mereka menghadapi kesukaran untuk mendapat tempat, lebih-lebih lagi setelah Azmin dan pasukannya memilih untuk menyertai Bersatu.

Sengaja saya memilih Pemuda Negara sebagai contoh, kerana mereka tidak pernah mengumumkan diri untuk menjadi parti politik. Dalam keadaan mereka yang tidak mengumumkan diri sebagai parti politik, dan cuba berfungsi sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dengan memberi bantuan kepada masyarakat, mereka juga masih sukar untuk diterima atau setidaknya belum kelihatan berimpak besar dalam arena politik anak muda.

Kita mungkin boleh berhujah – hal ini mungkin berlaku kerana mereka telah memakai jenama Azmin Ali di kepala. Jika itu hujahnya, kita perlu berlaku adil – Saddiq juga terkenal dengan jenamanya sebagai pembela nombor satu Dr Mahathir Mohamad, walaupun buat masa ini mereka dikatakan sudah berbeza platform.

Keadaan ini memperlihatkan bukan mudah untuk menembusi pasaran masyarakat dengan jenama anak muda semata-mata. Jika sebagai sebuah badan yang kelihatan ikhlas membantu masyarakat pun sukar, sudah tentu jalan yang mencabar akan dilalui Saddiq dan pasukannya.

Berbalik kepada parti muda yang katanya ingin ditubuhkan Saddiq, saya berpandangan ia terlalu gelojoh untuk terus menubuhkan parti politik, tanpa dialog dan perbincangan yang panjang dengan segmen anak muda yang lain. Panjang bukan bermaksud seabad, beberapa bulan mengelilingi lingkaran anak muda pun sudah memadai.

Ada banyak cara kita boleh membahagikan anak muda – dari segi segmen umur, pekerjaan, negeri, ideologi dll. Mereka semua harus dibawa berbincang secara serius.

Ketika saya berbincang dengan rakan-rakan yang mempunyai kolektif atau gerakan anak muda tersendiri – persoalan utama yang diajukan; bagaimana kumpulan pertama pasukan Saddiq dipilih?

Adakah ia kerana Saddiq mempunyai “hubungan” dengan kumpulan-kumpulan ini?

Mungkin hujah yang akan keluar – untuk memulakan sesebuah gerakan, rakan-rakan adalah orang yang perlu diguna. Oleh kerana Saddiq kerap menggunakan contoh korporat dalam hujahnya ketika memperkenalkan tokoh-tokoh korporat muda di dalam parti itu, barangkali dia sedang membayangkan dirinya seperti Jack Ma ketika baru memulakan Ali Baba Group.

Tokoh korporat ada peranan tersendiri dalam membantu gerakan anak muda, tapi mereka sedang merangka sebuah parti politik, bukan sebuah syarikat startup. Tumbuk tinju dalam politik agak berbeza dari dunia korporat, saya percaya pengalaman Saddiq sebagai ahli Parlimen telah mengajarnya perkara ini.

Mula dari bawah ke atas

Bagi saya, memulakan sebuah parti politik anak muda dengan rakan-rakan atau jaringan rapat kita di atas dasar “selesa” adalah filosofi politik yang salah. Untuk berkembang, kita perlukan orang-orang yang berani mengkritik kita secara keras, dan perdebatan yang kritikal perlu berlaku secara terbuka sebelum pengumuman seperti ini dilakukan.

Biarlah nanti apabila ia parti ini tertubuh; ideologinya jelas, perjuangan diketahui umum, dan prinsip secara bersama telah terbina dalam kalangan ahli.

Saya ingin mengambil contoh sebuah kongres anak muda yang pernah dilakukan pada tahun 2017. Kongres ini dinamai Kongres Anak Muda Malaysia 2017, dan hasil daripada perbincangan wakil-wakil anak muda dari pelbagai latar dan ideologi; lahirlah 13 prinsip bersama digelar “Deklarasi 13 Mei”.

Walaupun kita sudah tidak tahu apa yang terjadi dengan deklarasi ini, method mengumpul seramai mungkin anak muda perlu menjadi langkah pertama dalam idea parti anak muda ini. Sekurang-kurangnya, ia tidaklah kelihatan sebuah parti yang dikelilingi atau dimotori oleh orang yang Saddiq selesa sahaja.

Ini yang saya maksudkan dari bawah ke atas; dari jumlah anak muda yang ramai, kepada kumpulan kecil anak muda sebagai penggerak, bukan sebaliknya.

Salah satu cara yang paling mudah untuk mengklasifikasikan umur anak muda adalah melalui umur; mungkin 18-24, 25-30, 30-35 dan akhir sekali 36-40 tahun. Pasukan pertama Saddiq seharusnya memiliki wakil yang seimbang dalam setiap kumpulan umur. Ia tidak boleh didominasi oleh mereka dalam lingkungan umur 30-40 tahun sahaja, ia akan menyebabkan akan berlaku “tembok” yang besar di antara mereka.

Sudah tentu mereka sukar untuk mendapat gambaran tentang apa yang dirasakan generasi hari ini, lebih-lebih lagi jika mereka sudah menjadi usahawan berjaya.

Dalam kebanyakan sejarah gerakan anak muda, ia selalunya akan dimotori oleh gerakan mahasiswa. Oleh itu mereka tidak boleh hadir sebagai “cukup syarat” sahaja, mereka harus menjadi watak utama dalam pembinaan gerakan anak muda ini.

Ada banyak isu tentang anak muda yang menekan; cabaran utama pada masa ini adalah – ramai anak muda hilang kerja kerana Covid-19. Barangkali hal ini boleh menjadi isu pertama yang dibawa Saddiq dan pasukannya. – 10 September, 2020.

*Rahman Imuda adalah bekas aktivis mahasiswa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen