Kita semua adalah Veveonah


SEJARAH telah memperlihatkan bahawa anak muda memainkan peranan signifikan dalam pembaharuan dan perubahan landskap politik dan sosial masyarakat negara. 

Sejarah juga mempertontonkan bagaimana anak muda dilihat sebagai satu ancaman oleh pembesar dan pemerintah dalam mengukuhkan kekuasaan. 

Sejarah Melayu lama menukilkan hikayat Hang Nadim yang dianiaya berikutan kebijaksanaan akal mengatasi pertimbangan Seri Maharaja dalam melindungi Singapura daripada ditikam todak. 

Arab Spring juga telah memperlihatkan faktor anak muda sebagai satu ‘inevitable force’ dalam melaksanakan perubahan di dunia Arab. Kehebatan jurutera komputer muda, Wael Ghonim dalam memanfaatkan teknologi dan media sosial telah mencetuskan satu demonstrasi besar menentang rejim Hosni Mubarak pada tahun 2011. 

Sejarah ini tidak akan dapat dipadam dan tidak akan dapat dielak oleh pembesar yang memandang rendah akan keupayaan yang ada pada anak muda. 

Isu Veveonah Mosibin merupakan manifestasi akan kecekalan anak muda Malaysia dengan semangat yang tinggi untuk melakukan perubahan sosial yang lebih baik meskipun mempunyai akses teknologi yang begitu terhad. 

Anak muda kini sudah tahu apakah yang terbaik untuk mereka. Mereka sudah mengerti apakah bentuk negara yang mereka ingin wujudkan.

Mereka juga sudah mengenal pasti apakah langkah-langkah yang akan diambil dalam melaksanakan islah demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara. 

Anak muda selalunya sanggup mengambil risiko dan berani mencuba kerana itulah mereka selalunya berhasil mendapatkan kebaikan dan kemenangan. 

Dalam ayat yang lain Allah SWT memuji pemuda dalam kisah Ashabul Kahfi dengan berkata: “Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.” (Al-Kahfi: 13).

Demikianlah orang-orang muda ini kerap kali menjadi pemikir yang bernas apabila mereka mampu mempersoalkan kesilapan orang-orang sebelum mereka yang terdiri daripada golongan tua yang tidak mahu berfikir dan lebih selesa menetap di dalam ruangan selesa dan taklid buta.

Keengganan mereka untuk tidak memaknai hakikat dan isu yang realiti akan menyisihkan dan menambahkan lagi jurang kerajaan dengan anak muda yang pastinya akan menyambung legasi kepimpinan demokrasi negara bumi bertuah ini. 

Ini akan menambahkan defisit kepada Kerajaan yang dilihat cuba untuk membawa suara anak muda di tempat yang sewajarnya. 

Kerajaan harus memberi peringatan yang kuat kepada mereka-mereka yang kurang senang dengan anak muda untuk segera memesongkan pemikiran lama dan terkebelakang itu. 

Seperti kata-kata bekas Ahli Parlimen United Kingdom Tony Benn: “Democracy itself depends on availability of information”. Dan, akses kepada informasi ini dikuasai oleh anak muda yang mampu membawa kepada perubahan dan amalan demokrasi yang luhur. 

Tanpa mengira apa sahaja platform perjuangan, kerajaan mahupun pembangkang, pandangan yang tidak sewajarnya kepada Veveonah telah membangkitkan suara-suara anak muda. 

Anak muda mahukan isu-isu yang benar ini segara diselesaikan, bukannya menambah lagi jurang antara anak muda dan paksi kerajaan. 

Anak muda, tanpa mengira apa sahaja parti perjuangan, yang dipandang rendah adalah sama seperti Veveonah. 

Kita semua adalah Veveonah! – 8 September, 2020.

* Haissazc S Hisham, pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen