Ramai lagi Veveonah di Sabah


SAYA merujuk kenyataan Ahli Parlimen Kudat Abdul Rahim Bakri dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang mendakwa Veveonah Mosibin berpura-pura mengambil peperiksaan di atas pokok perlu diambil perhatian serius.

Kenyataan mereka ini satu penghinaan kepada rakyat Sabah, dengan mudah menyalahkan pensyarah UMS, menunjukkan ketidakpedulian, lebih-lebih lagi Abdul Rahim Bakri, yang merupakan wakil rakyat dari Sabah, kepada isu sebenar berkenaan kesukaran mendapat capaian internet yang dihadapi rakyat Sabah khususnya di kawasan pendalaman.

Masih banyak kawasan kampung di Sabah berhadapan dengan masalah capaian internet dan ia telah memberi impak kepada akses pembelajaran atas talian ketika PKP. 

Contohnya, Kampung Tilis, Tenom, apabila pelajar terpaksa memanjat bukit hampir 30 hingga 40 minit untuk mendapat capaian internet. Oleh itu, Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual membina pondok kecil di kawasan bukit supaya anak-anak dari Kampung Tilis mempunyai tempat berteduh semasa mendapat akses internet.

Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dibawah kerajaan Pakatan Harapan mensasarkan 20 peratus capaian internet di setiap premis kawasan separa bandar dan pendalaman dengan kelajuan 500 Mbps pada 2022; ia juga akan menarik banyak perniagaan baru dan meningkatkan peluang pekerjaan terutama di kawasan luar bandar, selain mengurangkan migrasi bandar. 

Seperti pentingnya persikataran pasca Covid-19, ia juga akan menarik banyak perniagaan baru dan meningkatkan peluang pekerjaan terutama di kawasan luar bandar, selain mengurangkan migrasi bandar. Zahidi perlu menjelaskan rancangan bersepadu merangkumi wilayah dan garis masa konkrit untuk pelaksanaan rencana Jalinan Digital Negara (Jendela).

Saya menyeru agar kedua-dua Timbalan Menteri Zahidi dan Abdul Rahim untuk tidak menyembunyikan isu sebenar dan mengambil serius usaha menguruskan capaian internet di Sabah.

Saya memberi sokongan penuh kepada Veveonah, kerana ia mengambarkan masalah sebenar, iaitu terdapat ramai individu seperti “Veveonah” di Sabah.– 8 September, 2020.

*Senator Adrian Lasimbang adalah Ahli Dewan Negara. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen